MUHAMMAD ZAIDE DAUT
PEMAIN Melaka United FC dituntut memberikan komitmen sepenuh hati dan bermain lebih gigih menghadapi KL City FC dalam aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Hang Jebat, Jumaat ini.
Ketua Jurulatih Melaka United FC, Zainal Abidin Hasan berkata, ini bagi memastikan hasrat dan impian skuad Hang Tuah mencipta sejarah layak ke pentas final Piala Malaysia buat pertama kali terlaksana.
Menurut Zainal Abidin, biarpun mempunyai sedikit kelebihan kerana memiliki satu gol di tempat lawan, ia bukan satu jaminan buat pasukannya kerana sedikit kelekaan pasti akan meleburkan impian mara ke pentas final buat pertama kali.
“Bagi saya, apa yang mereka telah korbankan daripada awal, berpuluh perlawanan, inilah satu perlawanan untuk mereka membuat sejarah, inilah best moment sepanjang mereka bermain 2021, jadi pemain perlu memberikan segala-galanya pada Jumaat ini,” katanya.
Zainal Abidin berkata, berbaki dua hari menjelang perlawanan penting itu, beliau akan menyiapkan ‘game plan’ khusus untuk bermain di tempat sendiri disamping melipatgandakan usaha untuk memenangi perlawanan penting itu.
“Walaupun kita ada kelebihan satu gol di tempat lawan, namun macam-macam boleh berlaku dalam dua tiga hari ini, jadi kita akan siapkan “game plan” bermain di tempat sendiri dan kita ingin ‘cleansheet’ bermain di tempat sendiri serta mencipta banyak peluang di tempat sendiri,” katanya.
Dalam pada itu, Zainal Abdini turut berharap bantuan sorakan pemain ke-12 untuk memberi semangat kepada pemain dalam aksi di Atadium Hang Jebat.
“Saya ingin mencipta sejarah, dengan dibelakangi oleh penyokong-penyokong Melaka yang memberi semangat kepada pemain, Insyallah pemain-pemain akan bermain lebih gigih kerana ini adalah permainan yang paling mustahak,”katanya.
Dalam perkembangan lain , pihak Melaka United FC akan membuka Meja Bantuan bagi mempermudahkan para penyokong mendapatkan tiket perlawanan Separuh Akhir kedua antara Melaka United FC menentang Kuala Lumpur City FC.
Menerusi Facebook Melaka United Football Club, Meja Bantuan itu akan dibuka pada Khamis, 25 November ini bertempat di Wisma MUSA, Kompleks Sukan Hang Jebat bermula jam 11 pagi hingga 4 petang.
Kepada penyokong yang memerlukan bantuan dan bimbingan bagi pembelian tiket secara online boleh hadir di lokasi pada masa yang ditetapkan dengan membawa Kad Pengenalan, MySejahtera dan telah lengkap 2 dos vaksin.