Nazirah Hassan
RIM – Semangat dan kecekalan bapanya Allahyarham Datuk Seri Abu Zahar Ithnin yang pernah memimpin Melaka menjadi pendorong EXCO Puteri UMNO, Datuk Khaidhirah menabur bakti sebaiknya.
Lebih dikenali sebagai Dira, beliau yang menang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) dengan jumlah undian sebanyak 4,037 undi berhasrat menjadi penyambung legasi arwah bapanya berkata, dia masih berpegang kepada pesanan arwah bapa untuk sentiasa menjaga orang kita, bangsa Melayu dan agama kita yang suci.
Bahkan, jasa arwah bapanya yang pernah berkhidmat sebagai Ketua Menteri Melaka kelapan cukup diingati warga Melaka sebagai pemimpin berjiwa rakyat antara sebab dia berjinak-jinak dalam arena politik selepas dilantik sebagai Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO sejak tahun 2018.
Bekas pelakon tanah air ini juga bercita-cita membantu rakyat tanpa mengira status dan ganjaran yang bakal dimiliki menerusi jawatan disandang sementelah, selepas memegang jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan (ADUN) Rim.
Kejayaannya baru-baru ini sekaligus mengangkat beliau sebagai anak seni pertama memenangi PRN dalam sejarah politik negara.
Berkongsi perasaannya, Dira berterima kasih kepada pengundi Rim yang memberikan kepercayaan kepada beliau menggalas tanggungjawab sebagai ADUN.
“Sejak menceburi dunia seni, saya tidak pernah merancang menjadi artis sampai ke tua. Saya pernah beralih ke bidang pengarahan dan dalam masa sama, naluri saya kuat untuk membantu insan memerlukan. Sebab itu, semasa bergelar artis, saya mula melibatkan diri dalam aktiviti kebajikan dan sukarelawan seperti membantu mangsa banjir dan sebagainya,” katanya.
Tambah pelakon filem Longkai itu, pelbagai perancangan disusun demi meningkatkan kelangsungan rakyat.
“Isu penting seperti pembangunan, pendidikan, infrastruktur asas seperti jalur lebar, teknologi komunikasi, sukan dan rekreasi golongan belia perlulah diberikan perhatian sewajarnya. Di samping itu, aspek ekonomi dan kesihatan warga tua di Rim juga akan diselia lebih baik,” katanya bersyukur kerana mendapat sokongan suami sepanjang berkempen serta membantu menguruskan keluarga dan anak-anak.
Akui Dira, detik kemenangan apabila dilantik sebagai ADUN Rim menjadi kenangan berharga dalam hidupnya kerana hari tersebut merupakan hari lahir anak sulungnya yang ke-14.
“Ia menjadi hadiah paling bermakna untuk saya sendiri sebagai ratu hatinya,” katanya lagi.
-MF-
Foto : kredit kosmo