MUHAMMAD ZAIDEE DAUT
MELAKA – Lebih 12,000 tiket perlawanan Separuh Akhir kedua TM Piala Malaysia 2021 yang bakal menemukan pasukan Melaka United FC dan KL City FC telah terjual sehinggajam 4,30 petang ini.
Melaka United Football Club dalam siaran Facebooknya menyatakan mereka yang masih belum mendapatkan tiket masih boleh mendapatkan tiket menerusi pembelian secara online di https://ticket.tickethotline.com.my/…/tickets/1287/login
Kenyataan itu turut memaklumkan pemegang Pas Bermusim Melaka United 2020 juga boleh menggunakan pas mereka bagi kemasukan ke stadium mengikut kategori Tempat Duduk.
“Setinggi-tinggi penghargaan terima kasih kepada penyokong yang telah mendapatkan tiket anda untuk memberikan sokongan yang tak berbelah bagi buat pasukan kesayangan kita di Stadium Hang Jebat, malam esok,” menurut kenyataan tersebut.
Hari ini, kaunter Meja Bantuan Pembelian Tiket Perlawanan Separuh Akhir di Wisma MUSA mendapat sambutan yang menggalakkan daripada para penyokong.
Pasukan Melaka United FC di bawah kendalian Ketua Jurulatih, Zainal Abidin Hassan kini hanya selangkah sahaja lagi untuk mencipta sejarah mara ke pentas akhir Piala Malaysia buat kali pertama.