CENDAWAN VOLVARIELLA TINGKAT EKONOMI SETEMPAT

Nazirah Hassan

NYALAS – Penanaman cendawan jenis volvariella dilihat mempunyai nilai komersial yang tinggi serta mudah untuk diusahakan.

Pengarah Jabatan Agroteknologi dan Biosains, Agensi Nuklear Malaysia, Tan Sri Dr Azhar berkata, perlaksanaan penanaman cendawan ini menjadi projek pertama berjaya dikomersialkan menggunakan baka berkualiti tinggi.

Menurutnya, ia hasil daripada kajian dan kerjasama Minda Wangsa Agro bersama Agensi Nuklear Malaysia sebagai usaha menerapkan konsep pertanian komersial menggunakan kaedah mesra alam.

“Penanaman cendawan menggunakan kaedah ‘zero waste’ menjadikan ia berpotensi dibangunkan sebagai perladangan lestari dengan kaedah penanaman di tandan kelapa sawit terpakai sebagai tapak semaian.

“Selepas cendawan dituai, tandan kelapa sawit tersebut boleh diguna semula sebagai baja kompos yang berkualiti tinggi. Ia mampu membekalkan tanaman lain dengan khasiat protein serta nutrisi penting yang terhasil daripada proses pertumbuhan cendawan.

“Saya yakin potensi cendawan volvariella kerana padat dengan khasiat serta tinggi potensi untuk dikomersialkan dalam bidang lain seperti perubatan dan kosmetik. Dengan harga pasaran RM25 sekilo, cendawan digelar sebagai cendawan butang Asia ini juga memberikan pulangan lumayan walaupun menggunakan modal rendah,” katanya.

Tambah beliau, penanaman cendawan volvariella menggunakan konsep tanam, tuai dan tinggal ini juga dilihat cukup sesuai untuk diusahakan di penjara.

“Projek penanaman sebegini cukup sesuai dilakukan di penjara kerana melibatkan penggunaan tenaga murah dan teknik yang mudah difahami serta tidak memakan belanja yang tinggi. Ini menjadikan kemahiran penanaman cendawan volvariella sebuah aktiviti yang baik untuk melatih kemahiran banduan di samping menjana pendapatan penghuni di penjara,” katanya.

Sementara CEO Perbadanan Teknologi Hijau Negeri Melaka, Datuk Dr Abu Bakar Md Diah berbangga dengan kolaborasi berkenaan yang merancakkan lagi sektor pertanian setempat.

“Saya menyokong program ini kerana ia merupakan usaha baik dalam membangunkan ekonomi di samping mampu meningkatkan pendapatan warga setempat dengan kaedah yang lebih maju dan efisien. Harapan saya program ini dapat menjadi pencetus bagi mengembangkan lagi prestasi sektor pertanian di negara kita,” katanya yang turut merasmikan program tersebut.

Penanaman cendawan yang bertempat di Ladang Cendawan Pintar, Kampung Baru Pinggir Meriang ini turut melibatkan penggunaan teknologi pengesan suhu bagi memastikan persekitaran rumah cendawan berada dalam suhu yang optimum sepanjang masa.

Pada majlis itu, Dr Mohd Azhar turut menjalankan demonstrasi penanaman cendawan di Ladang Cendawan Pintar yang berkeluasan 5 ekar.

-MF-

Amalina MF

Amalina MF

Artikel Berkaitan

MUZIUM MENARIK DI MELAKA

MUZIUM ISTANA KESULTANAN MELAKA Muzium Istana Kesultanan Melayu Melaka dibina berdasarkan ‘Sejarah Melayu’ yang menggambarkan keunikan seni bina istana pada zaman Sultan

BANJIR MAUT IRAN

Fara Ismail Menurut CNN, sekurang-kurangnya 69 orang terbunuh dalam banjir dan tanah runtuh yang melanda beberapa kawasan bandar di seluruh Iran, kata

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *