NAZIRAH HASSAN
TANJUNG BIDARA – Kek buah yang tahan lama serta rasanya digemari ramai menjadikan ia mendapat tempat istimewa dihati peminat kek ini tidak hanya di dalam malahan luar negara.
Pengasas Kek Buah Kukus Abam Nazr, Mohd Nazrul Haqimi berkata, produk dihasilkannya itu mampu bertahan selama 2 bulan pada suhu bilik dan 6 bulan di dalam peti sejuk.
Menurutnya, meskipun produknya itu baharu sahaja diperkenalkan enam bulan lalu di negara ini, tetapi, dia bersyukur kerana sambutan yang cukup memberangsangkan.
“Ada ketika kek kukus ini mendapat permintaan yang sangat tinggi sehingga tempahan terpaksa ditutup sementara akibat kehabisan stok.
“Saya juga sangat teruja mendapat maklum balas yang baik daripada pelanggan dan kata mereka, kek kukus dihasilkan menepati selera.
“Komen mereka, tekstur kek buah tersebut lembut, lembap serta padat dengan buah-buahan segar,” katanya Kek Buah Kukus Abam Nazr dibungkus dengan rapi dalam kotak yang menarik dan sangat sesuai dijadikan sebagai buah tangan.
Anak jati Tanjung Bidara ini juga mengakui, proses untuk mendapatkan produk akhir kek buah bukanlah mudah.
“Lima tahun saya ambil masa untuk mendapatkan ketahanan, tekstur dan rasa kek buah yang sesuai dengan cita rasa orang ramai.
“Kerana itu, bagi mengekalkan rasa dan kesegaran kek, saya menggunakan resepi turun temurun dengan pilihan bahan premium bagi menghasilkan kek buah bermutu tinggi.
“Hanya mentega asli Anchor dan buah-buahan segar sebagai ramuan asas digunakan,” katanya kek kukus tersebut dijual pada harga RM30 bagi 650 gram.
Pelbagai usaha dilalukan Nazrul bagi memperluaskan produk ini termasuk menjalankan pelbagai promosi.
“Bagi pelanggan kami yang membeli secara atas talian, penghantaran percuma ke seluruh negeri akan diberikan sepanjang Disember ini.
“Saya berharap promosi ini mendapat sambutan yang baik sebagai usaha saya memperkenalkan jenama sendiri. Saya merancang untuk mengedar kek buah kukus di pasar raya bermula Januari dan Insya-Allah, saya juga bercadang membuka peluang agen dan stokis pada tahun hadapan bagi merancakkan lagi jaringan jualan kek buah kukus kepada semua rakyat Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, Nazrul juga giat memasarkan pelbagai kuih tradisional seperti kuih gunting, denderam, bahulu dan kek marble.
Bagi yang berminat mendapatkan Kek Buah Kukus Abam Nazr, boleh hubungi Nazrul di talian 017-6032310 atau layari laman Facebook Kek Buah Kukus Abam Nazr.
-MF-