MARINA SAHABUDIN
AYER KEROH – Seni tradisional perlu diberikan perhatian bagi memastikan ia tidak pupus ditelan zaman sekaligus mendapat tempat dalam kalangan generasi muda.
Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka, Ezlina Alias berkata, menerusi Program Perantisan Seni Negeri Melaka 2021, ia diharap dapat mengangkat kembali seni Puisi Rejang Tradisional Melaka yang terus pupus dalam diri belia masa kini.
Menurutnya, program berbentuk latihan atau sesi pembelajaran itu bertujuan mewujudkan generasi pelapis berkaitan seni yang diangkat.
“Saya harap menerusinya kita dapat melahirkan kumpulan perantis yang mampu berdiri sendiri meluaskan kesenian ini pada masa akan datang.
“Era moden dan ledakan tranformasi digital menjadi cabaran besar terhadap seni tradisi dan usaha JKKN untuk memastikan seni ini terus hidup tidak pernah terhenti,” katanya pada majlis penutupan program itu di JKKN Ayer Keroh di sini.
Turut hadir, wakil Pengarah Bahagian Dasar dan Penyelidikan Budaya JKKN, Naurah Daria Janiur, Pengarah Kemajuan Kraftangan Malaysia (Melaka), Nur Ithnani Ilyana Alias dan Penolong Pengarah Bahagian Pengukuhan Seni Budaya JKKN, Zuhairi.
Tambah Ezlina, program berkenaan bermula pada tahun 2000 dengan menyasarkan kesenian hampir pupus di negeri ini.
“Antaranya, seni Kompang, Kelalang, Rebana Keras, Dondang Sayang dan Nazam. Menerusinya, kita berjaya melahirkan kumpulan pelapis bagi setiap kesenian ini.
“Lebih membanggakan apabila seni ini berjaya menambat hati anak muda berbanding satu masa dahulu ia dipelopori golongan lebih berusia,” katanya.
Jelasnya lagi, kesenian Tradisional Puisi Rejang dipilih tahun ini adalah kerana ia semakin dilupakan.
“Menjadi tanggungjawab JKKN memelihara seni ini dan memartabatkannya supaya ia sentiasa segar di persada seni tanah air.
“Sepanjang tiga bulan program ini dilaksanakan bermula September hingga November, seramai 15 peserta mengambil bahagian.
“Mereka mendapat bimbingan dan latihan secara berkala serta intensif dengan jayanya meskipun berhadapan wabak Covid-19,” katanya peserta turut memberikan komitmen terbaik.
Dalam pada itu, Ezlina mengucapkan jutaan terima kasih kepada jurulatih terlibat iaitu Cikgu Norliza Md Yamin dan Haji Ab Rani Embi yang menjadi pakar rujuk berhubung seni Puisi Rejang sekaligus merealisasikan program ini.
-MF-