ALOR GAJAH – Komuniti setempat berharap Klinik Kesihatan Padang Sebang dapat ditambahbaik bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan, keselesaan sekaligus memastikan rawatan yang terbaik dqpqt diberikan kepada mereka.
Timbalan Presiden Pertubuhan Mesra Pengguna Malaysia (PMPM), Azlin Othman berkata, premis kesihatan keperluan tersebut wajar dibina baharu atay dinaik taraf seiring dengan perubahan zaman.
Menurutnya, klinik yang dirasmikan pada tahun 1965 itu menyediakan aktiviti perkhidmatan pesakit luar, ibu dan anak, bagaimanapun keadaannya kurang kondusif bagi melaksanakan rawatan dalam satu-satu masa.
“Ia menjadi keperluan besar komuniti sekitar dan DUN Gadek yang mana pembangunan klinik ini harus disegerakan.
“Kami percaya, pihak kerajaan berusaha dengan sebaik mungkin membantu dan meningkatkan keperluan perkhidmatan bagi keperluan rakyat,” katanya.
Bagi Abd Rahman Manas, sebagai komuniti di sini dan bekas Pengerusi Panel Penasihat Klinik Kesihatan Padang Sebang, sudah tentu dia gembira dan bangga jika klinik ini berwajah baharu.
Ujar Noor Ain Muhammad Salleh pula, penduduk Padang Sebang menanti perkhidmatan kemudahan kesihatan baharu dibawa kerajaan lebih baik, selesa, mesra pelanggan dan selamat berbanding yang ada.
-MF-