Amir Ise
MELAKA – Saban hari, masyarakat dikejutkan dengan hebahan kepelbagaian kes melibatkan keselamatan dan perlakuan jenayah baik jenayah kecil mahupun berat.
Timbalan Presiden PMPM, Azlin Othman berkata,
risiko berlakunya jenayah sering berhubung kait dengan beberapa faktor sehingga meninggalkan kesan buruk ke atas individu, kumpulan, institusi mahupun negara.
Menurutnya, kita sering mendengar kerisauan ibu-bapa terhadap perkara melibatkan keselamatan di sekolah khususnya.
“Kejadian pelajar lelaki tingkatan satu didakwa dibuli, ditumbuk diperut dan ditendang enam pelajar lain di sebuah sekolah berasrama di negeri Perak yang tular di media sosial baru-baru ini seharusnya menjadi ikhtibar, dipandang serius dan jelas melanggar etika serta peraturan sediada sekolah.
“Dalam isu ini, semua pihak perlu komited menyediakan persekitaran sekolah yang selamat selaras dengan konsep ‘Sekolah Sejahtera’ sepertimana menjadi hasrat kerajaan.
“Pengaruh persekitaran, rakan sebaya, kekurangan penghayatan nilai–nilai murni, moral dan agama juga menyebabkan para pelajar terlibat dalam gejala negatif. Ia pasti merebak jika gagal dibendung,” katanya.
Tambahnya, apa yang berlaku adalah di luar fikiran.
“Nyawa boleh hilang begitu sahaja, tindakan tegas dan hukuman setimpal wajar diambil sebagai pengajaran kepada yang lain demi nama baik MRSM itu sendiri. Jika hukuman ringan, tak mustahil boleh berlaku lagi”.
“Pelajar terbabit membuli tanpa rasa bersalah serta menganggu keselamatan pelajar lain dan terang-terangan melanggar disiplin. PMPM percaya tentu ramai kecewa dan marah kerana sebagai anak-anak yang sedang membesar bila berada di asrama tidak sepatutnya terdedah dengan perbuatan seperti itu”.
“Apapun hukuman, bagi PMPM pengajaran dan bimbingan kepada pelaku kembali ke jalan yang benar perlu juga ada. Perintah Khidmat Masyarakat dijadikan tambahan hukuman sediada mahupun alternatif kepada hukuman juga sesuai dikenakan bagi menggalakkan perubahan sosial, menginsafkan kehidupan dan memperkasakan pelaku,” katanya.
Menurut Azlin, klip video 10 saat tular dalam media sosial dalam kes ini dan jika terdapat kes buli yang lain seperti ini, semua pihak digesa lebih terbuka dan serius melaporkan sebarang kes jenayah apalagi jika ia melibatkan pelajar.
“Bukan reputasi sekolah patut dijadikan keutamaan, sebaliknya disiplin dan keselamatan pelajar secara keseluruhan. Jikalau terdapat masalah di sekolah, rujuk kepada pihak berkuasa sebelum keadaan jadi lagi buruk,” katanya.
-MF-