Marina Sahabudin
KUALA LUMPUR – Tidak hanya ekonomi negara, sebaliknya rakyat terus terjejas kesan daripada pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berpanjangan yang mengambil masa lama untuk pulih, kata Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Kenyataan tersebut dikongsi beliau menerusi laman sosial rasmi Facebook miliknya.
Tambah beliau, kerajaan baharu kini sedang giat memulihkan kewangan, begitu juga rakyat biasa.
“Jika ada istilah ‘long covid’ bagi aspek kesihatan, begitu juga ekonomi.
“Justeru, ramai berharap Menteri Kewangan memenuhi permintaan rakyat supaya menyambung skim i-Citra,” katanya.
Jelas Ahmad Zahid, pencarum yang mempunyai simpanan mencukupi wajar dibenarkan mengeluarkan wang mereka lagi.
“Sekurang-kurangnya mereka dapat bertahan sedikit masa lagi dengan harapan keadaan akan bertambah baik selepas itu,” katanya berikutan moratorium bayaran balik pinjaman dan pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melalui skim i-Citra bakal berakhir bulan ini.
Beliau juga difahamkan tidak semua rakyat bersedia untuk kembali membayar komitmen mereka rentetan ekonomi yang tidak stabil.
“Masih ada belum mendapat pekerjaan malah, yang berniaga juga belum memperoleh keuntungan dan sebagainya,” katanya.
-MF-
sumber : umno online