SHAM PENGUKIR PERLUAS SENI UKIRAN

Marina Sahabudin

BERMULA sebagai artis dekorasi hotel suatu masa dahulu, empunya nama Zainisham Senin ini tidak pernah menyangka dirinya kini semakin dikenali dalam bidang dan seni ukiran.

Lebih membanggakan, usahawan ukiran yang mesra disapa Sham Pengukir ini sebenarnya telah menceburi bidang ini sejak 11 tahun lalu.

Meskipun bermula dengan modal hanya RM500, namun, pemuda berusia 44 tahun ini nekad memperluaskan bisnesnya demi minat mendalam terhadap seni ukiran.

“Selain menjadi artis dekorasi, saya juga pernah bekerja sambilan dengan seorang perancang perkahwinan popular di Kuala Lumpur.

“Bagaimanapun, saya tidak meneruskan pekerjaan tersebut kerana terpaksa berjauhan dengan keluarga.

“Menerusi ilmu dan pengalaman dimiliki, saya beranikan diri ‘terjun’ membuat props pelamin dengan mengetengahkan ukiran bermotifkan tradisional dan moden,” katanya kepada MelakaFirst.

Tambah Sham, walaupun berhadapan pelbagai cabaran di awal pembabitanya dalam bidang ini, tetapi dia bersyukur kerana telah bertahan sehingga hari ini.

“Cabaran tu memang sentiasa ada, awal-awal dulu saya kekurangan tenaga kerja mahir dan perlu melatih mereka sebaiknya supaya produk dihasilkan menepati kemahuan pelanggan.

“Selain itu, saya pernah tak tidur berhari-hari semata-mata untuk menyiapkan tempahan kerana tidak cukup masa,” katanya.

Jelasnya, paling menyedikan apabila ada pelanggan yang tidak membayar baki tempahan.

“Ragam pelanggan tak mengira masa dan siapa, ada yang baik, ada yang cerewet dan mahukan harga murah. Namun, semua itu tak mematahkan semangat saya,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai produknya, kata Sham, setiap seni ukiran ini menggunakan material yg polistrin/styrofoam, plywood dan evafoam.

“Justeru, harga produk juga bergantung kepada kualiti, saiz, material dan reka bentuk corak,” katanya bermatlamat memartabatkan warisan seni ukiran menerusi bisnes ini.

Ditanya bagaimana dia bertahan di musim Covid-19 ini, akui Sham, dia terpaksa bergantung kepada simpanan selain pengeluaran i-sinar dan i-citra KWSP.

ANJUR BENGKEL

Dalam pada itu, Sham juga memperluaskan kemahirannya dengan menganjurkan bengkel dan kelas.

“Ia dilaksanakan sejak 2017 lagi. Awalnya ia tidak mendapat sambutan dan hanya seorang sahaja peserta.

“Tetapi berkat kesabaran saya, ia semakin mendapat sambutan pada tahun 2019. Alhamdulillah, ketika itu saya berjaya menjalankan bengkel ukiran pertama melibatkan lima peserta.

“Manakala, bengkel kedua saya di Kuantan disertai 10 individu. Saya jangka akan mengadakan bengkel seterusnya tahun hadapan,” katanya lagi.

Sementara itu, bagi yang ingin melihat dan berminat menggunakan hasil karya Sham Pengukir, bolehlah melayari Facebook Karya Sham Pengukir.

-MF-

Amalina MF

Amalina MF

Artikel Berkaitan

MUZIUM MENARIK DI MELAKA

MUZIUM ISTANA KESULTANAN MELAKA Muzium Istana Kesultanan Melayu Melaka dibina berdasarkan ‘Sejarah Melayu’ yang menggambarkan keunikan seni bina istana pada zaman Sultan

BANJIR MAUT IRAN

Fara Ismail Menurut CNN, sekurang-kurangnya 69 orang terbunuh dalam banjir dan tanah runtuh yang melanda beberapa kawasan bandar di seluruh Iran, kata

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *