Marina Sahabudin
MERLIMAU – Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Merlimau Utara tidak ketinggalan membantu mangsa banjir di Kampung RTB Bukit Changgang, Selangor dan Bentong, Pahang.
Menerusi inisiatif itu, seramai 30 sukarelawan turun padang dengan membawa pelbagai sumbangan untuk disampaikan kepada mangsa banjir.
Sukarelawan terlibat terdiri daripada komuniti Merlimau Utara melibatkan penduduk KRT Taman Muhibbah, KRT Taman Muhibbah B, KRT Kampung Kilang Berapi, KRT Taman Merlimau Permai dan KRT Taman Merlimau Utara.
Pengerusi KRT Taman Muhibbah, Ariffuddin Ibrahim yang bertindak sebagai Ketua Misi Pasca banjir berkata, usaha membantu mangsa banjir ini julung kali dilaksanakan.
“Selain dapat meringankan beban mangsa terlibat, ia sekaligus mengeratkan kerjasama dan kemuafakatan di antara KRT-KRT Merlimau Utara,” katanya.
Selain makanan, barangan lain disumbangkan termasuklah baju terpakai, toto, susu, lampin pakai buang dan alat pencuci.
Majlis pelepasan jentara disempurnakan ADUN Merlimau, Dr. Mohd Akmal Saleh.
-MF-