MARINA SAHABUDIN
MELAKA – Seramai 300 peserta meluangkan masa menjayakan Program 10,000 Langkah Inter Generasi sempena sambutan Jubli Emas Angkasa 50 Tahun.
Program anjuran PAWE UTC MELAKA dengan kerjasama Kelab Pengamal Media Melaka (PENDIKA) itu diadakan di Taman Rempah, Pengkalan Rama di sini.
Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) , Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, ia merupakan inisiatif Angkasa berkongsi informasi kepada orang awam mengenai fungsi Angkasa.
“Angkasa meraikan sambutan jubli emas bermula Mei 2021 hingga Mei 2022 yang mana setiap aktiviti diadakan bertujuan menghubungkan Angkasa dengan masyarakat sejak penubuhannya pada 1971.
“Tahun ini Gerakan Koperasi Malaysia di bawah SKM akan adakan sambutan 100 tahun, jadi kita akan jadikan program sambutan 50 tahun jubli emas Angkasa antara sisipan program tersebut,” katanya.
Hadir sama, Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan Datuk Kalsom Nordin, Pengerusi Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Pusat Transformasi Bandar (UTC) Melaka Ab Rahim Tawil dan Pengerusi Kelab Pengamal Media Melaka (Pendika) Amir Mamat.
-MF-