Marina Sahabudin
DURIAN TUNGGAL – Kira-kira 60 rumah baharu bakal dibina Lembaga Perumahan Melaka (LPM) tahun ini bagi memastikan matlamat Kerajaan Negeri khususnya yang digariskan dalam ‘Manifesto Barisan Nasional, Melaka 5 Tahun’ dapat direalisasikan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, pembinaan rumah berkenaan adalah di bawah program ‘Melaka Rumahku’ yang merupakan projek Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) LPM.
Kenyataan tersebut dikongsi beliau di laman sosial Facebook miliknya selepas menziarahi
Abdul Wahab Mohamad di Batu 11, Kampung Bukit Tambun, di sini yang turut menerima rumah baharu daripada LPM.
“Kos keseluruhan rumah ini adalah RM35,000, termasuk sumbangan agensi korporat Tenaga Nasional Berhad dan Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB).
“Terima kasih kepada LPM yang berjaya merealisasikan impian Abdul Wahab untuk memiliki rumah baharu lebih selesa,” katanya.
Hadir sama, ADUN Durian Tunggal, Zahari Abd Kalil dan Pengarah Eksekutif LPM, Salleh Hamidom.
Sulaiman turut dimaklumkan LPM, pihaknya telah membelanjakan RM450,000 bagi kerja-kerja membaik pulih 27 unit rumah, termasuk 5 unit pembinaan rumah baharu tahun lalu.
-MF-