Marina Sahabudin
KUALA LUMPUR – Kenyataan hasil siasatan Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) yang dilaporkan berpuas hati dengan penjelasan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Azman Baki bahawa akaun dagangan miliknya digunakan adiknya untuk memperoleh jutaan saham, tidak meredakan persepsi negatif rakyat terhadap tahap integriti dan ketelusan SPRM.
Menerusi laman sosial Facebook milik, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, kenyataan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) yang menuntut penjelasan lanjut berasaskan kenyataan KP SPRM pula menyerlahkan lagi keperluan siasatan bebas lebih terperinci memandangkan di bawah Seksyen 25 (4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA), hanya pemilik akaun sekuriti dibenarkan memiliki saham.
Menurut beliau, perkembangan terbaru ini menggerakkan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menuntut disegerakan agenda pembaharuan institusi dengan meletakkan SPRM di bawah seliaan Parlimen.
“Tindakan ini memberikan kuasa perlantikan Ketua Pesuruhjaya sebagai hak prerogatif Parlimen selepas proses tapisan terperinci ‘due deligence’ dijalankan dan dicadangkan oleh Jawatankuasa Khas Parlimen mengenai calon berkelayakan.
“Ia juga bagi mengelakkan wujud campurtangan pihak eksekutif sebagaimana amalan hari ini lantaran Seksyen 5 Akta SPRM 2009 yang menyatakan Ketua Pesuruhjaya dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri.
“Dengan pembaruan ini, ia bermakna perkhidmatan KP SPRM tidak sesekali mampu dipengaruhi unsur politik sebagaimana pernah berlaku dalam pemerintahan PH terdahulu apabila bekas Ahli Pimpinan Tertinggi PKR Latheefa Koya juga pernah dilantik KP SPRM hanya selepas Perdana Menteri ke-8 daripada PH mengambil alih kerajaan,” katanya.
Tambah beliau, justeru, Pemuda UMNO berpandangan hanya dengan menyegerakan penempatan institusi SPRM di bawah Parlimen.
“Ia diharap akan mengelakkan sebarang persoalan negatif berkaitan integriti dan ketelusan melibatkan badan terpenting untuk menangani jenayah rasuah, sekaligus mengembalikan keyakinan rakyat dan persepsi pelabur pada negara,” katanya.
-MF-
Sumber : FB Dr Asyraf Wajdi Dusuki