Marina Sahabudin
AYER KEROH – Berkesempatan menjejakkan kaki di Pasar Malam Leypark Station yang beroperasi di Dataran Sejarah di sini memberi gambaran baharu terhadap kawasan ini.
Masakan tidak, Dataran Sejarah yang dahulunya sepi tanpa sebarang aktiviti, kini meriah dengan kehadiran pengunjung setempat dan luar Melaka.
Idea pasar malam dibangunkan di sini hasil cetusan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datuk Shadan Othman berjaya menghidupkan kembali kawasan itu.
Mengambil konsep pasar malam seakan Jonker Walk yang popular di Bandar Hilir, Leypark Station dibuka kepada pengunjung empat hari seminggu bermula Khamis hingga Ahad.
Apa diperhatikan, kawasan ini tidak hanya menjadi ‘port’ santai dan makan seisi keluarga, malahan anak muda.
Menariknya, seramai 40 peniaga bersama-sama menjual makanan dan cenderamata di Leypark Station sekali gus memeriahkan kawasan ini yang bakal menjadi satu lagi destinasi menawarkan pelancongan di negeri ini.
Shadan menerusi temubual media tempatan memberitahu, usaha tersebut membantu menarik pengunjung menikmati suasana malam di Ayer Keroh.
Jika dahulu, pelancong luar perlu memandu kira-kira 15 kilometer untuk menikmati suasana malam di Bandar Melaka, sebaliknya kini Leypark Station menjadi pilihan mereka.
Ini kerana sebelum ini, menurut Shadan, pengunjung khususnya pelancong luar terpaksa memandu sejauh kira-kira 15 kilometer ke pusat bandar semata-mata mahu merasai suasana malam.
Pada masa sama, Leypark Station menjadi salah satu usaha MPHTJ membantu peniaga di negeri ini menambah pendapatan mereka lebih-lebih lagi semasa berhadapan pandemik Covid 19 sehingga menjejaskan kehidupan mereka.
-MF-