Norazlinda Hj Mohammad
Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM)
Email: [email protected]
Setiap Perdana Menteri di seluruh dunia mempunyai aspirasi untuk membentuk sebuah masyarakat yang berkualiti dan bermentaliti kelas pertama untuk mencapai objektif sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi. Rakyat Malaysia seringkali didedahkan dengan pelbagai kempen kesedaran, slogan-slogan, lagu-lagu kreatif, atau lambang-lambang bagi memupuk nilai murni, moral, dan martabat yang tinggi demi mewujudkan mentaliti kelas pertama dalam kalangan masyarakat sekaligus merancakkan kemajuan negara. Sudah terang lagi bersuluh bahawa kerajaan, pihak berkuasa, dan aktivis-aktivis sosial telah memberikan usaha yang terbaik dalam menjalankan beberapa buah program atau kempen yang menyentuh perihal isu ini kepada masyarakat. Pelbagai inisiatif telah diambil dengan penyebaran maklumat melalui risalah, poster, media elektronik, radio, kaca televisyen, papan-papan iklan, pengumuman perkhidmatan awam, sistem siaraya dan media sosial.
Sebagai renungan di tahun baru 2022, sudahkah kita berubah menjadi masyarakat yang lebih peka dan prihatin terhadap persekitaran? Atau kita masih berada di takuk lama? Pernahkah anda mendengar sebuah penyataan yang kedengaran asing mengenai “Kemudahan kelas pertama dalam masyarakat mentaliti kelas ketiga di Malaysia”? Pernyataan tersebut telah diutarakan sendiri oleh Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Seperti yang kita semua sedia maklum, beliau merupakan Perdana Menteri yang paling lama berkhidmat dalam sejarah Malaysia dan merupakan insan yang bertanggungjawab dalam usaha pembangunan Malaysia. Sungguh memilukan dengan ungkapan itu kerana kita bukan sahaja ketinggalan bersaing dengan negara-negara Kanada, Jepun, Mauritius dan Singapura tetapi juga gagal memiliki mentaliti kelas pertama walaupun Malaysia dikenali sebagai sebuah negara Asia yang pesat membangun dan telah mencapai kemerdekaan dengan prasarana yang lengkap bagi menampung revolusi industri. (IR 4.0)
Perlakuan Rakyat Malaysia bermentaliti Kelas Ketiga yang Membinasakan
Terdapat pelbagai jenis perwatakan buruk dalam kalangan masyarakat Malaysia, bermentaliti kelas ketiga yang tidak berfikir, kurang beradab, seperti membuang sampah di luar kereta atau di luar tingkap rumah pangsa dengan dentuman yang kuat sehingga mengancam nyawa jiran tetangga. Segelintir rakyat Malaysia terlihat kurang matang dan bersikap tidak bertanggungjawab dengan merosakkan bumi dan persekitaran yang hijau. Tabiat membuang sampah merata-rata, mencemarkan sungai dengan sisa-sisa toksik, menyebabkan pencemaran udara dan pembakaran terbuka. Terdapat juga segelintir masyarakat yang suka meludah di tempat awam, membunyikan hon secara berterusan di atas jalan raya, memainkan lagu dengan kuat, dan bermain bunga api ketika hari perayaan sehingga mengganggu ketenteraman awam dan jiran tetangga. Selain itu, sikap kurang cakna terhadap keselamatan awam seperti tidak memakai topi keledar ketika menaiki motosikal, menuggang dengan tidak menyalakan lampu atau tidak memakai tali pinggang di dalam kereta juga merupakan bukti mentaliti kelas ketiga. Tidak dilupakan, kes golongan ‘mat rempit’ dan ‘basikal lajak’ yang tidak bertanggungjawab, langgar lari, dan pemandu mabuk yang hanya menambah lagi kepada keruntuhan sikap tidak bermoral di atas jalan raya. Maka, kerana itulah terdapat beberapa kes salah laku pemanduan secara merbahaya di atas jalan raya dengan membuntuti kenderaan di hadapan, berlaku cuai dengan memecut laju di kawasan yang sibuk dan menukar lorong tanpa memberikan isyarat terlebih dahulu. Sikap tidak bertanggungjawab ini boleh dielakkan dengan mengambil kira kepentingan orang lain kerana kita hidup bermasyarakat hendaklah menjaga adab susila agar harmoni.
Di samping itu, terdapat juga isu meletakkan kenderaan di kawasan orang kurang upaya (OKU) kurang prihatin terhadap mereka yang lebih memerlukan tempat duduk di dalam kenderaan awam, menduduki tempat duduk OKU, tidak menetapkan telefon pintar mereka dalam mod senyap ketika menonton wayang, dan memberontak dengan cara merosakkan harta benda awam seperti mesin layan diri, bangku taman, dan tandas awam. Walau bagaimanapun, yang lebih mengejutkan adalah sejumlah besar penduduk tidak bertimbang rasa yang menukarkan kawasan perumahan mereka kepada semak samun, tidak dijaga dengan baik, mempunyai kolam ikan yang berkulat lembap, dan pasu bunga yang menjadi sarang pembiakan nyamuk Aedes. Selain itu, haiwan-haiwan peliharaan juga terlalu bebas merayau di kawasan perumahan sehingga mengganggu, menjengkelkan, dan menakutkan jiran tetangga. Wahai rakyat Malaysia, mohon jaga kebersihan, peka, dan jangan sesekali mengambil mudah terhadap kelebihan yang diberikan kerana anda tidak hidup keseorangan. Sebaliknya, anda menjalani kehidupan dengan beribu lagi insan di dunia ini.
Tambahan pula, terdapat juga perbuatan yang tidak bersivik seperti merosakkan mural sebagai tanda bantahan ke atas pihak berkuasa, melukis grafiti lucah di kawasan taman permainan, membuang air kecil di dalam lif, menempelkan gula getah di permukaan butang lif, merokok atau menghisap vape di kawasan awam dan gerai makanan. Lebih dahsyat lagi, terdapat beberapa aduan mengenai orang awam yang membawa masuk haiwan peliharaan mereka ke dalam pusat membeli-belah atau tempat awam, menghalang atau meletakkan kenderaan secara berkembar di kawasan kereta lain, mementingkan diri dengan sewenang-wenangnya mencuri kawasan parkir pemandu lain walaupun maklum mereka sudah sedia menunggu terlebih dahulu. Kesemua salah laku ini tidak boleh dimaafkan dan hanya menyumbang kepada kemarahan orang awam kerana jelas salah di mata masyarakat.
Usaha Kempen umpama bermusim dan ibarat mencurah air ke daun keladi
Para pembaca yang saya kasihi, adakah anda semua masih ingat kepada kempen ‘Budi Bahasa Budaya Kita’ dan ‘Senyum’ beberapa tahun yang lalu? Para kakitangan kerajaan dan sektor swasta akan memakai butang berlambang senyum pada pakaian mereka bukan sahaja sebagai tanda sokongan tetapi juga untuk memupuk adab kesopanan demi profesionalisme di dalam pentadbiran dan untuk memastikan perkhidmatan yang berkualiti kepada pelanggan-pelanggan. Namun begitu, ianya tidak kekal lama kerana kita semua pasti mempunyai pengalaman beberapa kakitangan kerajaan, swasta, dan perbankan yang bertindak sombong dan angkuh dengan cara tidak menyapa, tidak senyum, dan tidak juga mengucapkan terima kasih ketika berkhidmat. Maka jelaslah bahawa segelintir rakyat Malaysia kekurangan sifat kesopanan dan kesusilaan kerana mereka tidak mempraktikkannya dalam kehidupan seharian sehingga mereka merasakan susah untuk mengucapkan kata maaf seandainya tersilap atau membuat salah. Oleh yang demikian, kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) telah menghabiskan banyak masa, usaha, dan wang untuk pembiayaan kempen-kempen seperti kempen alam sekitar ‘Go Green’, kempen kitar semula, kempen ‘Dilarang merokok’, kempen menjaga harta benda awam, kempen berkongsi kenderaan, kempen keselamatan di atas jalan raya, kempen larangan minum alkohol sambil memandu, dan sebagainya untuk menanam kesedaran diri dan memupuk tanggungjawab dalam kalangan rakyat Malaysia dalam memenuhi hasrat memiliki mentaliti kelas pertama. Walau bagaimanapun, jumlah kempen yang diwujudkan tidak dapat memberi apa-apa impak seandainya rakyat Malaysia sendiri tidak menunjukkan sikap keprihatinan terhadap orang lain sebaliknya terus mengabaikan peranan mereka di dalam mewujudkan Malaysia sebagai sebuah negara yang harmoni dan berfikiran sivik. Adakah ini yang kita ingin lahirkan generasi baru yang semakin hilangnya adab pemikiran??
Kekurangan Pendidikan Sivik dan Disiplin Diri yang Sempurna
Kini persoalannya adalah “Mengapa mentaliti kelas ketiga masih wujud dalam kalangan rakyat Malaysia?”. Siapakah yang patut dipersalahkan atas sikap negatif ini? Adakah ini terletak di atas bahu ibu-bapa, pihak berkuasa, para pendidik, atau individu itu sendiri? Yang lebih menghairankan adalah rakyat Malaysia sepertinya memberi tumpuan kepada sesuatu isu hanya ketika ianya dikempenkan, namun apabila musim kempen tersebut berakhir, mereka mula melupakannya. Antara penyumbang utama mentaliti kelas ketiga adalah kekurangan sivik, etika, integriti, dan pendidikan moral dalam kalangan masyarakat. Realitinya, isu sistem pendidikan di Malaysia agak dangkal kerana ia tidak inklusif lebih mementingkan penguasaan kemahiran subjek pelajaran dan ilmu berbanding perkembangan mental, mendidik sifat empati secara kognitif, atau penekanan terhadap disiplin diri dari kecil. Wahai rakyat Malaysia, mari kita sama-sama mengambil iktibar dari negara Jepun yang mendidik murid-muridnya secara mental dan fizikal ke arah mendisiplinkan diri dengan cara menanamkan sifat patriotisme, kebersihan alam sekitar, dan kebersihan diri. Selain itu negara jiran kita, Singapura, seperti kita sedia tahu, sangat dikenali sebagai negara Asia yang terbersih dan terpelihara alam sekitarnya. Malahan, Singapura telah mengetatkan peraturan dan undang-undang dengan mengenakan kompaun atau denda berkadar tinggi bagi kesalahan membuang sampah merata-rata, membawa kereta dengan laju dan melarang pemakanan gula getah. Aspek Kebersihan merupakan aspek terpenting dalam kehidupan mereka.
Perletakan Kadar Denda Yang Tinggi bagi Pelaku yang Tidak Bertanggungjawab
Melihat kepada tingkah laku buruk yang dipamerkan oleh segelintir masyarakat yang tidak bertanggungjawab, perlaksanaan undang-undang yang lebih berat harus dijalankan bagi menghentikan salah laku ini dari terus berterusan kerana ianya tidak sepatutnya berlaku di dalam negara yang pesat membangun. Pihak kerajaan dan pihak berkuasa perlulah memainkan peranan mereka secara tegas dan cakna dalam mengambil tindakan tegas terhadap pesalah yang sengaja mengabaikan kempen bagi melahirkan masyarakat bermentaliti kelas pertama. Hukuman berat seharusnya diperkenalkan untuk jenayah berat seperti laku musnah (vandalism) di mana pelaku boleh dipenjarakan sehingga tiga bulan seandainya didapati bersalah di bawah Sektor 425 Kanun Keseksaan. Selain itu, pesalah tersebut perlu dipertanggungjawabkan untuk membersihkan semula contengan mereka atau membuat pembaikan fasiliti sekiranya merosakkan dengan sengaja. Namun begitu, tidak mustahil untuk para pelaku mengulangi kesalahan mereka pada masa akan datang tanpa merasa bersalah. Jadi, ianya adalah berbalik kepada kesedaran diri sendiri dalam memegang tanggungjawab, mempraktikkan sikap yang baik, dan menghapuskan tabiat buruk. Justeru itu, rakyat Malaysia hendaklah sentiasa beringat berpegang kepada adab dan prinsip rukun negara untuk menjadi masyarakat yang bertanggungjawab, berakhlak dengan bertindak bijak serta meninggalkan sikap buruk dan berubah ke arah masyarakat yang lebih bermentaliti, bertamadun agar setaraf dengan negara-negara maju di mata dunia.