PERANGI PENYAKIT MENTAL PEMBUNUH SENYAP KETIKA PANDEMIK COVID-19

Norazlinda Hj Mohammad

Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM)

Email:  [email protected]

Masalah kesihatan mental di negara ini semakin membimbangkan dan perlu diberi serius (Pakar Perunding Psikiatri Pusat Pakar Universiti Malaya). Penyakit mental adalah penyakit yang melibatkan gangguan pada fungsi otak yang boleh menyebabkan perubahan kepada proses pemikiran, perasaan dan tingkah-laku seseorang yang mengakibatkan gangguan bagi menjalani aktiviti seharian dengan baik (Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan, 2018).

Malangnya menjelang tahun 2020, penyakit mental merupakan masalah kesihatan kedua terbesar yang membahayakan rakyat Malaysia selepas penyakit jantung (Rawatan untuk Penyakit Mental, 2018). Menurut Presiden Persatuan Kesihatan Mental Malaysia, Datuk Dr Andrew Mohanraj, untuk menjadi seorang individu yang sihat, kita perlulah sihat dan seimbang dari segi mental dan fizikal. Beliau menambah, semakin pesat Malaysia membangun, kes bunuh diri dikalangan belia di bandar juga semakin meningkat. Lebih memburukkan keadaan, sejak menularnya wabak Covid-19 menyebabkan penyakit mental dalam kalangan masyarakat semakin tenat akibat tekanan emosi, paranoid, tekanan bekerja di rumah, beban kerja pejabat dan terpaksa mematuhi peraturan ketat yang dtetapkan oleh pihak berkuasa.  Penjarakan sosial, masalah kewangan, pengangguran, diberhentikan kerja, keganasan rumahtangga dan konflik rumahtangga juga adalah antara kesan daripada wabak Covid-19. Secara amnya ia memberi impak terhadap kesihatan mental rakyat Malaysia tidak kira dari golongan miskin atau berpendapatan sederhana, B40 dan M20.

Laporan peningkatan masalah kesihatan mental di Malaysia

Situasi terkini juga menunjukkan peningkatan tekanan mental dan emosi akibat paparan tular atau viral di Facebook (FB) di kalangan rakyat Malaysia. Viral ialah kekerapan penularan kandungan media sosial beremosi yang boleh menyumbang kepada perlakuan dan emosi sama ada positif atau negatif kepada pengguna media sosial.  Kuasa media sosial dilihat antara penyumbang kepada tekanan emosi serta masalah depresi di seluruh dunia.  Ia boleh memberi impak buruk terhadap minda, tingkah laku, emosi dan kesihatan mental pengguna media sosial serta boleh mencetuskan pertelingkahan netizen.

Individu yang sering menjadi perhatian masyarakat seperti selebriti dan pempengaruh sosial media kadangkala bersikap di luar batasan apabila membuat komen negatif terhadap seseorang tanpa memikirkan kesan jangka panjang tindakan tersebut. Ia juga sudah menjadi satu trend dalam kalangan pengguna media sosial, mudah menilai dan menghukum seseorang tanpa ada rasa empati.  Kita sewajarnya jangan terlalu cepat menghukum seseorang tanpa menyelidik latarbelakang individu terbabit dan kesahihan maklumat yang ditularkan.  Justeru itu, elakkan pencerobohan hak peribadi orang lain dengan menyebarkan video atau gambar yang memalukan dan boleh menjatuhkan maruah mereka di media sosial.  Perlu diingat bahawa kekayaan dan kemasyhuran tidak boleh membeli maruah dan kehormatan seseorang individu.  Adakah kebebasan bersuara memberi hak kepada anda untuk menyakiti orang lain?  Penyebaran video atau kandungan media sosial tersebut sudah pasti menjatuhkan imej dan reputasi serta boleh mewujudkan tekanan emosi dan penyakit mental bukan sahaja terhadap individu malah ahli keluarga mereka.

Kuasa tular media sosial menyebabkan peningkatan penyakit mental

Penularan kandungan Facebook atau di platform media sosial lain berkaitan peningkatan kes Covid-19 juga telah menyebabkan tekanan emosi yang hebat dan ketakutan yang melampau dalam kalangan masyarakat  Malaysia;  Mereka bukan hanya terpaksa menghadkan pergerakan fizikal di luar rumah malah khuatir untuk keluar rumah atau ke tempat kerja yang pastinya menjejaskan pendapatan mereka.  Kecanggihan teknologi serta kuasa media sosial juga dilihat antara penyumbang kepada tingkahlaku tidak sihat dalam kalangan masyarakat. Paparan kehidupan orang lain yang bersifat sempurna dan tidak realistik di media sosial menyebabkan seseorang itu suka membuat perbandingan antara kehidupan diri sendiri dan orang lain yang akhirnya mewujudkan rasa tidak puas hati dan hilang keyakinan diri.  Lebih parah lagi ia boleh menjurus kepada ‘bisikan-bisikan jahat’.

Penularan maklumat atau kandungan media sosial boleh diumpamakan seperti pembunuh senyap yang berupaya merosakkan kognitif mental, emosi dan perlakuan seseorang.  Mereka yang terkesan akan berasa tidak berdaya, tidak bernilai dan putus asa malah terdorong untuk melakukan tindakan di luar kawalan iaitu bunuh diri.  Bayangkan bagaimana mereka tidur tanpa rasa ketenangan, fikiran gundah, gelisah sepanjang masa bagaikan bom jangka yang berdetik menunggu masa untuk meletus.  Terdapat juga di kalangan mereka ini yang menjadikan dadah, minuman beralkohol atau perlakuan jenayah sebagai jalan keluar dari masalah, tekanan mental dan emosi disebabkan kesan penggunaan media sosial.

Malah ada juga di kalangan ahli masyarakat yang mengalami keresahan dan kerisauan melampau berdepan ketidaktentuan masa hadapan akibat Covid-19. Isu penyakit mental akibat pandemik Covid-19 harus diberi perhatian serius kerana ia masalah global yang memberi tekanan psikologi, kegelisahan, gangguan pemakanan, kemurungan, gangguan tidur, kesunyian, kehilangan keyakinan diri dan memberi akibat kepada peningkatan kes bunuh diri.  Amat menyedihkan apabila statistik kes bunuh diri dilaporkan meruncing sejak kebelakangan ini.  Berdasarkan laporan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 631 kes bunuh diri dilaporkan berlaku di negara ini sepanjang tahun 2020 iaitu peningkatan 22 kes berbanding tempoh sama tahun lalu.  Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, menggesa masyarakat supaya menghormati perasaan ahli keluarga mangsa dengan tidak menyebarkan video atau gambar berkaitan individu yang membunuh diri di platform media sosial. Beliau juga berkata kes bunuh diri boleh dibendung dengan tidak menyebarkan gambar serta video berkaitan perbuatan bunuh diri kerana ia boleh mengundang tindakan meniru perbuatan keji tersebut.  Masyarakat perlu lebih cakna dan prihatin kerana kecenderungan risiko membunuh diri bertambah akibat tekanan mental, masalah kewangan dan ekonomi kesan dari pandemik Covid-19.

Kesedaran awam- Hari Kesihatan Mental Sedunia

Organisasi Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengisytiharkan 10 Oktober setiap tahun sebagai Hari Kesihatan Mental Sedunia.  Inisiatif ini telah diperkenalkan bagi meningkatkan kesedaran komuniti global tentang isu kesihatan mental, penjagaan mental dan membantu mereka yang mempunyai masalah kesihatan mental.  Diharapkan dengan adanya program sebegini dapat meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan kesihatan mental dan membendung permasalahan bunuh diri.

Kepentingan sokongan kesihatan mental

Lazimnya, masyarakat perlu sedar dan segera bangkit memainkan peranan dalam mengekang kes penyakit mental.  Lebih banyak kajian, inovasi dan pembangunan model rawatan yang lebih sesuai dalam bidang kesihatan mental perlu dilaksanakan untuk menangani peningkatan kes penyakit mental.  Malah bantuan dan sokongan pakar psikiatri amat diperlukan bagi membantu individu yang menghidapi masalah penyakit mental.  Oleh itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Persatuan Kesihatan Mental Malaysia perlu menawarkan lebih banyak perkhidmatan psikiatri, kaunseling dan psikoterapi kepada individu yang mengalami kemurungan dan cenderung kepada tingkah laku bunuh diri.

Orang ramai juga perlu cekal dan sentiasa kuat semangat bagi mendepani cabaran arus Covid-19.  Anggapla ia sebagai satu ujian yang menjadikan mereka lebih dekat dengan Tuhan dan masyarakat perlu bersatu dalam memerangi penyakit mental.  Hidup ini umpama roda, kadangkala kita berada di atas, dan kadangkala kita berada di bawah.  Justeru itu, kita perlu bersedia untuk berada di mana-mana sahaja posisi dalam kehidupan dan mendepaninya dengan tabah dan penuh kesabaran.  Elakkan diri dari tergelincir dari landasan yang betul dan memilih jalan yang salah.  Hargai orang tersayang yang sentiasa ada bersama anda ketika susah dan senang.  Jadilah individu yang sentiasa berfikiran positif dan kelilingi diri anda dengan orang-orang yang sentiasa memberi sokongan moral motivasi dan harapan kepada anda. Sentiasa waras dengan memupuk kasih sayang,  menyayangi diri dengan menghargai diri sendiri, percaya akan keupayaan diri dan jangan pernah menyerah walau berhadapan dengan masalah besar di waktu pandemik.

Di Malaysia, terdapat pelbagai organisasi yang boleh memberi bantuan kepada mereka yang menghidap penyakit mental seperti kemurungan, tekanan perasaan, depresi dan cubaan bunuh diri.  Orang ramai boleh menghubungi talian bantuan sokongan seperti Befrienders dan Talian Kasih untuk berkongsi masalah serta dan mendapatkan bantuan nasihat dan sokongan emosi dari para petugas. Mendapatkan bantuan awal adalah perkara penting dalam merawat penyakit mental. Sesetengah orang mungkin merasa rendah diri untuk mendapatkan rawatan atau bantuan profesional.  Tetapi harus di ingat bahawa sokongan yang kuat dapat membantu individu yang menghidapi penyakit mental.  Jangan takut untuk mendapatkan sokongan dan bantuan.  Bertindak awal sebelum terlambat.  

Bagi mereka yang terkesan, anda boleh menghubungi talian hayat di bawah untuk sokongan emosi

  • Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (MHPSS): 03-29359935 atau 014-3223392
  • Talian Kasih: 15999, atau WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999
  • Pusat Khidmat Keluarga, Sosial dan Komuniti JAKIM: WhatsApp 0111-9598214
  • Befrienders Kuala Lumpur: 03-76272929
Amalina MF

Amalina MF

Artikel Berkaitan

MUZIUM MENARIK DI MELAKA

MUZIUM ISTANA KESULTANAN MELAKA Muzium Istana Kesultanan Melayu Melaka dibina berdasarkan ‘Sejarah Melayu’ yang menggambarkan keunikan seni bina istana pada zaman Sultan

BANJIR MAUT IRAN

Fara Ismail Menurut CNN, sekurang-kurangnya 69 orang terbunuh dalam banjir dan tanah runtuh yang melanda beberapa kawasan bandar di seluruh Iran, kata

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *