Oleh: MARINA SAHABUDIN
MERLIMAU – Politeknik Merlimau (PMM) telah menerima pengarah baharu iaitu Norizam Sekak bagi menggantikan pengarah terdahulu Mohd Hatta Zainal yang telah menamatkan perkhidmatan beliau sebagai penjawat awam setelah 35 tahun menabur bakti dalam sektor kerajaan.
Menurut Norizam, pelantikan beliau sebagai Pengarah PMM yang baharu ibarat “sirih pulang ke gagang” kerana sebelum ini beliau pernah bertugas di PMM pada tahun 2012 sebagai Ketua Jabatan Perdagangan, PMM.
“Saya merasa amat berbangga dan teruja atas pelantikan sebagai pengarah PMM yang ketujuh. Boleh dikatakan bahawa ramai warga kerja PMM yang saya kenali dan ini memudahkan kerjasama di antara saya serta warga kerja PMM sedia ada.
Malah, saya juga sebenarnya sering terlibat dalam majlis yang dianjurkan oleh PMM sebelum ini” ujarnya lagi.
Tambahnya lagi, beliau berharap agar kerjasama berpasukan yang sedia ada dapat diteruskan demi membawa PMM terus gemilang di masa hadapan.
“Perjalanan saya sebagai penjawat awam bermula sejak tahun 1997 dan telah berkhidmat di tujuh institusi, justeru itu saya yakin bahawa sekiranya semua pihak bersatu hati tidak mustahil untuk apa sahaja perkara dapat dicapai”, katanya.
Untuk rekod, Norizam juga merupakan Pegawai Pasukan Simpanan Tentera Darat berpangkat Mejar di Rejimen 501 Askar Wataniah.
Beliau sebelum ini pernah memegang beberapa jawatan penting di politeknik dan kolej komuniti antaranya Timbalan Pengarah (Sokongan Akademik) di Politeknik Ibrahim Sultan bermula 2013 hingga 2016 serta menyambung khidmat bakti sebagai Timbalan Pengarah (Akademik) 2017-2018 juga di Politeknik Ibrahim Sultan. Jawatan terakhir beliau ialah Pengarah Kolej Komuniti Segamat 2 dari tahun 2019 hingga 2021. Kini beliau kembali semula ke Melaka selaku Pengarah PMM.