Norazlinda Hj Mohammad
Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM)
Email: [email protected]
Kemunculan Revolusi Industri 4.0 adalah satu perkembangan terkini yang banyak mempengaruhi kehidupan kita mengadaptasi norma baharu dan memperolehi maklumat segera dan pantas. Begitu juga lambakan platform media sosial yang membawa pengaruh besar kepada masyarakat yang dahagakan maklumat ketika memerangi wabak Covid-19. Rakyat Malaysia kini bukan hanya menghadapi ujian Covid-19 malah wabak penyebaran berita palsu yang berleluasa. Akhir-akhir ini, telah menjadi satu trend di kalangan generasi muda dan masyarakat mendapatkan berita bukan sahaja dari media tradisional malah juga melalui media baharu. Di era Teknologi Komunikasi dan Maklumat (ICT), rata-rata rakyat Malaysia memiliki akaun media sosial seperti WhatsApp, Facebook, Twitter, Instagram dan YouTube untuk berhubung dengan orang lain tanpa batasan dan sempadan.
Media sosial merupakan satu platform yang memudahkan masyarakat untuk berkomunikasi tetapi ia juga boleh memberi kesan buruk kepada penggunanya. Hampir tiga tahun rakyat Malaysia dibelenggu virus Covid-19 dan pada masa yang sama mereka juga berhadapan dengan penularan berita palsu yang kononnya dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Kebelakangan ini terdapat peningkatan ketara dalam penyebaran berita palsu sama ada tentang kes serta kadar kematian pandemik Covid-19, maklumat vaksinasi yang bercanggah fakta, Prosedur Operasi Standard (SOP), mahupun isu koronavirus yang menyebabkan kegelisahan dan kegusaran dikalangan orang awam. Malahan sebaran berita tidak benar dan spekulasi berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) juga telah mencetuskan kekeliruan dan suasana panik dalam kalangan masyarakat. Ternyata media sosial kini dilihat menjadi platform untuk segelintir rakyat Malaysia menyebarkan berita palsu. Perlakuan ini jelas tidak beretika dan bertentangan dengan objektif dan fungsi penggunaan platform media sosial. Tindakan menyebarkan berita palsu sebenarnya memberi impak yang cukup buruk kepada aspek sosial, ekonomi bahkan kesejahteraan negara, seandainya tidak ditangani secara berhemah. Berita tidak benar pantas tersebar kerana ramai pengguna media baharu dan media sosial mudah percaya dan cepat berkongsi berita yang ditularkan tanpa terlebih dahulu menyemak kesahihan berita tersebut daripada pihak berkuasa atau laman sesawang, portal dan media sosial rasmi kerajaan.
Akibat daripada meruncingnya penularan berita palsu, orang ramai mula meragui dan tidak mempercayai kerajaan, pihak berkuasa dan Kementerian Kesihatan berkaitan wabak Covid-19. Keadaan bertambah buruk dan sukar di kawal apabila terdapat segelintir pengguna yang menyalahgunakan media sosial sebagai platform untuk menyebarkan khabar angin serta menggodam laman sesawang Kementerian Kesihatan. Mereka memuat naik maklumat palsu yang mencetuskan perasaan marah dan suasana panik dikalangan orang ramai. Usaha giat perlu dilaksanakan bagi mengekang dan melawan peningkatan penyebaran berita tidak benar kerana ia boleh menyebabkan suasana kacau bilau, mengancam keharmonian masyarakat dan keselamatan negara.
Usaha Kerajaan dan Kementerian Kesihatan dalam mengekang penyebaran berita palsu
Kerajaan dan Kementerian Kesihatan memandang serius fenomena penyebaran berita palsu berkaitan wabak Covid-19. Setiap hari terdapat peredaran, lambakan berita palsu, khabar angin, maklumat salah dan berita yang menyakitkan hati berkaitan Covid-19 dan vaksin disebar melalui pelbagai platform media sosial. Pada dasarnya, kerajaan perlu tuntas melaksanakan satu pelan tindakan yang efektif bagi mengekang gejala tidak sihat ini.
Penyebaran berita tidak benar tentang wabak Covid-19 boleh menimbulkan perasaan marah dan gelisah di kalangan rakyat kerana kurangnya literasi sains dalam kalangan masyarakat di negara ini. Justeru, kerajaan, pihak berkuasa serta Kementerian Kesihatan perlu mempergiatkan lagi usaha mengekang penyebaran berita palsu. Antara usaha bagi mengekang penularan berita palsu berkaitan wabak koronavirus yang telah dilaksanakan ialah penjelasan dari Menteri Kesihatan Malaysia, YB Khairy Jamaluddin mengenai berita palsu dan kenyataan media yang dibuat oleh Ketua Pengarah Kesihatan. Di samping itu, Kementerian Kesihatan juga sentiasa memberi maklumat yang sahih dan terkini kepada rakyat melalui Facebook dan laman sesawang rasminya bagi menenangkan keadaan dan memberi panduan informasi yang sewajarnya kepada orang awam. Pertanyaan orang awam berkenaan Covid-19 juga dijawab setiap hari untuk memberi keyakinan kepada semua bahawa keadaan pandemik adalah terkawal. Data-data terkini berkaitan Covid-19 juga sentiasa di muatnaik di laman sesawang Kementerian Kesihatan bagi menangkis maklumat tidak sah atau penularan berita palsu berkenaan perkembangan wabak Covid-19.
Perangi berita palsu berkaitan kesihatan awam perlu diambil berat sepenuhnya
Hakikatnya, orang ramai bebas membaca dan mendapatkan maklumat samada melalui media arus perdana atau saluran alternatif tetapi mereka perlu berhati-hati memilih berita yang ada fakta dan ketahui sumber puncanya dari mana. Tidak salah mendapatkan maklumat dari blog atau platform media sosial tetapi kita hendaklah sentiasa berwaspada agar tidak mudah terpedaya dengan berita palsu. Pastikan kesahihan maklumat atau berita yang diterima dengan merujuk laman web, portal dan media sosial rasmi kerajaan dahulu sebelum berkongsi maklumat atau berita yang diterima di media sosial. Sebagai pengguna media sosial yang cakna, prihatin dan bertanggungjawab, kita sewajarnya menjadi pengguna yang bijak. Semua lapisan masyarakat daripada pelbagai bangsa perlu bekerjasama mencegah berita palsu bagi mengekalkan perpaduan dan keharmonian negara. Membanteras berita tidak benar perlu digalas oleh semua bukan sahaja kerajaan.
Pihak berkuasa juga perlu mengambil tindakan tegas dan pantas mencantas penyebaran berita palsu dengan membuat penafian segera melalui saluran media serta menyebarkan informasi bahawa berita yang disebarkan itu adalah palsu melalui portal rasmi kerajaan.
Tindakan tegas drastik dikenakan terhadap penyebar berita palsu
Peningkatan penyebaran berita palsu akhir-akhir ini amat membimbangkan. Kerajaan melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah mengambil langkah drastik dengan melaksanakan peraturan dan undang-undang untuk mengekang penyebaran tidak benar berkaitan Covid-19 bagi mengekalkan keharmonian dalam masyarakat. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memberi amaran kepada pengguna media sosial agar tidak menulis, menyebar dan berkongsi berita palsu atau mereka akan didakwa di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara satu tahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan. Setakat ini, penguatkuasa undang-undang telah menahan 12 individu yang disyaki menyebarkan kandungan berita palsu mengenai penularan koronavirus. Oleh itu, pengguna media sosial perlu sentiasa cakna dan berwaspada dalam berkongsi maklumat agar tidak terjebak dalam penularan berita palsu yang boleh menimbulkan keresahan, ketakutan orang ramai dan sekaligus boleh mengancam keselamatan negara.
Rujuk portal sebenarnya.my bagi membanteras penularan berita palsu
Kerajaan melalui Kementerian Kesihatan serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia sentiasa bersikap proaktif dalam membanteras penyebaran maklumat dan berita palsu. Orang ramai digesa bekerjasama dengan melayari laman sesawang seperti APFactCheck dan Full Facts yang giat membongkar dan mendedahkan berita palsu di media sosial. Anda juga boleh melayari internet bagi membuat penyelidikan samada berita yang dikongsi di media sosial telah dikenalpasti sebagai berita fakta atau tidak. Jadilah rakyat Malaysia yang peka sebelum menyebar berita palsu. Amalkan sikap selidik dahulu sebelum berkongsi apa jua maklumat atau berita sejajar dengan kempen “Tidak Pasti, Jangan Kongsi”. Jadilah orang yang berhemah pengguna platform media sosial yang bijak dan jangan jadi dalang yang menyalahgunakan dengan menyebarkan berita palsu di siber.