PUTRAJAYA, 5 APRIL – KERAJAAN mengumumkan bersetuju menyalurkan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM500 kepada lebih 2 juta penjawat awam dan pesara bermula 25 April ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata peruntukan sebanyak RM923 juta itu diberi kepada semua penjawat awam Gred 56 dan ke bawah manakala bantuan khas sebanyak RM250 juga diberikan kepada pesara kerajaan.
Tambah beliau, bantuan khas ini turut dinikmati oleh kakitangan di bawah skim kontrak, pegawai sambilan dan lantikan di bawah MySTEP dengan pembayaran diterima mulai 25 April ini bersekali dengan bayaran gaji bulan April.
“Pengumuman pemberian Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri pada tahun ini dibuat lebih awal sebagai salah satu langkah keprihatinan kerajaan dalam membantu mereka membuat perancangan awal dan persiapan bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri.
“Pemberian ini adalah bagi menghargai jasa dan pengorbanan penjawat awam dalam menggalas tanggungjawab menyampaikan perkhidmatan kepada Keluarga Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Perdana Menteri berkata, kerajaan berharap dengan pemberian bantuan khas ini dapat meringankan beban kewangan kepada penjawat awam dan pesara serta dijadikan sebagai pemangkin kepada mereka untuk terus berkhidmat dengan penuh dedikasi. – MelakaFirst.