OLEH: DR ZAKI ZAMANI ABD. RASHID
(Timbalan Presiden (2) Pertubuhan Mesra Pengguna Malaysia (PMPM) merangkap
Ahli Lembaga Penasihat Pusat Latihan AADK)
BANDARAYA MELAKA -KEBELAKANGAN ini banyak perbincangan mengenai penggunaan ganja dalam perubatan.
Justeru itu, Pertubuhan Mesra Pengguna Malaysia (PMPM) juga mengalu-alukan pendekatan dan galakkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam memberi ruang kepada mana-mana penyelidik, industri, pakar-pakar mahupun ahli akademik dalam mengetengahkan kajian klinikal penggunaannya dalam perubatan.
Menerusi beberapa kajian sebelum ini mendapati penggunaan marijuana atau kanabis boleh dimanfaatkan dalam bidang perubatan antaranya mampu merangsang pembentukan saraf otak yang sudah mati. Difahami melalui kajian itu juga pada dos rendah ianya boleh memberi kebaikan daripada sudut kesihatan.
Keberkesanan ini untuk merawat penyakit lain terutamanya penyakit mental masih tidak dibuktikan secara klinikal. Buat masa ini, manfaat penggunaan ganja dalam perubatan sangat terhad.
Jika diambil di Amerika Syarikat sebagai contoh, pihak berkuasa Food and Drug Administration (FDA) mereka hanya membenarkan penggunaan ganja untuk merawat sindrom sawan dan anoreksia di kalangan pesakit AIDS. Ubat-ubatan ini mengandungi bahan CBD atau ‘cannabidiol’ dan THC ‘tetrahydrocannabidol’ iaitu komponen utama ganja yang dihasilkan secara sintetik.
Isu yang lebih utama sebenarnya adalah jika ganja ini terbukti banyak manfaatnya dalam perubatan, adakah kerajaan akan membenarkan sepenuhnya penjualannya seperti suplemen yang boleh dijual beli di mana-mana?
Ganja tetap dadah, jika perlu digunakan dalam perubatan sekalipun, biarlah pengamal perubatan yang menjustifikasikan penggunaannya seperti mana morfin yang digunakan dalam perubatan. Ia harus kekal di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, dan rakyat tidak boleh menjual, membeli, menggunakan dan menanamnya sesuka hati atas nama perubatan.
Ini kerana ganja sebagai sejenis dadah psikoaktif sangat cenderung untuk disalahgunakan kerana ia boleh menyebabkan ketagihan.
Kesan sosialnya sangat besar terutamanya kepada generasi muda. Apa jua sekalipun, kita semua harus meneruskan usaha mendidik dan segala keputusan dibuat haruslah mengikut fakta, data dan sains. Ini bukan satu tugas yang mudah tetapi usaha bersungguh-sungguh memperkenalkan kebaikan ganja ini dan mencari serta mempastikan keberkesananya sangat dialu-alukan.