Norazlinda Hj Mohammad
Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM)
Email: [email protected]
Hampir tiga tahun negara kita berperang dengan pandemik Covid-19 yang pada satu ketika memaksa kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan menutup institusi pendidikan bagi mengekang penularan wabak Covid-19. Kesannya, Malaysia bukan sahaja perlu menangani krisis kesihatan, sosial, ekonomi dan politik akibat virus Covid-19 malah sektor pendidikan juga turut terjejas teruk. Kebanyakan universiti tempatan awam mahupun swasta termasuk sekolah-sekolah di Malaysia tiada pilihan lain selain menggunakan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bagi memastikan silibus pengajaran dapat disampaikan dengan sebaik mungkin dan sesi pembelajaran tidak terganggu. Maka landskap pendidikan tidak ketinggalan dalam mengalami transformasi perubahan ke arah andragogi dan pedagogi dari konvensional atau kaedah bersemuka kepada digital. Tidak dinafikan para pendidik mengambil masa untuk membiasakan diri melaksanakan PdPR menggunakan peranti seperti komputer, tablet, komputer riba, telefon pintar, platform media sosial dan perisian hibrid sebagai salah satu pendekatan pengajaran rutin mereka. Tenaga pengajar tidak kira yang berusia atau muda mula mengadaptasikan diri dengan mempelajari kaedah pengajaran menggunakan platform digital seperti Google meet, Google Classroom, Blackboard, U-future, WebEx, Zoom dan Microsoft Teams sebagai sistem pembelajaran secara maya. Pelajar sekolah dan universiti juga tidak terkecuali dan perlu mahir dan celik dengan teknologi dan maklumat (IT) sebagai persediaan untuk belajar secara dalam talian.
Sejajar dengan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) pandemik Covid-19, pelajar tidak dibenarkan berkomunikasi secara bersemuka dengan guru atau pensyarah mereka. Sehubungan itu, platform media sosial seperti Whatsapp, Telegram dan telekonferensi menjadi medium komunikasi utama untuk pelajar berhubung dengan pendidik dan juga rakan sekelas. Guru dan pensyarah juga menyalurkan maklumat, memberikan arahan, mengedarkan nota, menjalankan penilaian melalui platform media sosial agar pelajar tidak ketinggalan atau keciciran serta kekal fokus dengan pembelajaran mereka di dalam talian.
Cabaran dan Implikasi Besar Pengajaran dan Pembelajaran dalam Talian
Komitmen, hubungan yang baik serta kerjasama rapat antara pelajar dan tenaga pelajar amat penting bagi memastikan proses PdPR dapat dilaksanakan dengan jayanya. PdPR tidak akan berjalan lancar sekiranya guru dan pensyarah tidak cukup kreatif dalam mencari kaedah terbaik dan menukar cara pembelajaran mengikut kesesuaian pelajar. Pelajar yang kurang aktif dalam kelas pasti ketinggalan sekiranya tiada komunikasi dua hala antara pelajar dan pendidik. Oleh yang demikian, pelajar digalakkan untuk menghidupkan kamera masing-masing ketika kelas berlangsung kerana cara ini dapat memastikan interaksi yang lebih efektif. Kaedah ini juga boleh mengurangkan kes ketidakhadiran dan salah laku dikalangan pelajar. Namun ada juga kes pelajar yang tidak berdisiplin ditangkap oleh pendidik ketika leka dan sibuk melayari TikTok, Facebook, YouTube dan saling berbalas Tweet serta Whatsapp dengan rakan-rakan ketika kelas berlangsung. Senario ini sangat menyedihkan dan mencacatkan objektif pembelajaran PdPR. Perbuatan tidak menghormati pensyarah kurang memberi perhatian sewaktu di dalam kelas talian seharusnya dielakkan dan perbuatan ini amat dikesali kerana ia boleh menjejaskan suasana keharmonian perjalanan kelas tersebut.
Jurang Teknologi, Infrastruktur Digital dan Masalah Capaian Internet
PdPR bukanlah satu perkara baharu malah sistem ini telah dipraktikkan sebelum wabak Covid-19 melanda negara. Contohnya, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Unversiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Terbuka Malaysia (OUM) dan beberapa institusi pendidikan tinggi yang lain telah menggunapakai Pendidikan Jarak Jauh (PJJ). Teknik ini banyak memberi manfaat kepada individu yang bekerja untuk menyambung pengajian mereka di universiti bagi memperbaiki taraf, kualiti hidup melalui peningkatan pendidikan yang lebih tinggi. Namun begitu, pelajar yang mengikuti PdPR pada masa ini menghadapi beberapa kekangan seperti masalah akses internet yang memuaskan dan kekurangan prasarana digital terutamanya bagi mereka yang tinggal di kawasan luar bandar dan pedalaman. Gambaran permasalahan ini mewujudkan ketidakseimbangan serta jurang pendidikan diantara pelajar miskin dan berkemampuan. Kalian, masih ingatkah lagi pada pelajar dari Sabah yang bernama Veveonah Mosibin berjuang, bersusah payah memanjat bukit dan tidur di atas pokok semata-mata untuk mendapatkan capaian internet agar jelas?
Hakikatnya, bukan semua individu dilahirkan dikalangan keluarga kaya dan mewah. Ini dapat dibuktikan dengan Kajian Kementerian Pendidikan Malaysia pada 18 April 2020 menunjukkan 36.9% pelajar tidak mempunyai peranti manakala 90% daripada pelajar tiada akses kepada peranti peribadi. Ini menyukarkan pelajar yang kurang mampu untuk belajar dengan baik. Ibarat pepatah Melayu, berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Terdapat segelintir ibubapa yang tidak mampu menyediakan kemudahan telefon pintar, komputer, komputer riba dan data internet untuk anak-anak mereka bagi mengikuti PdPR. Malah, ada dikalangan pelajar terpaksa berkongsi peranti seperti telefon pintar dengan adik-beradik yang lain untuk mengikuti PdPR kerana ibubapa mereka tidak mampu menyediakan gajet komputer atau tablet untuk kegunaan setiap anak-anak mereka yang sedang mengikuti kelas dalam talian.
Kesukaran PdPR dikalangan Pelajar dan Pendidik
Pendidikan atau pembelajaran secara PdPR yang terlalu lama turut memberi kesan terhadap kesihatan mental, fizikal, emosi dan juga sosial pelajar serta pendidik. Jika seseorang terlalu lama duduk di hadapan skrin komputer, ia boleh merosakkan saraf mata secara fizikal, menyebabkan sakit kepala, keletihan dan juga sakit tulang belakang. Perlaksanaan PdPR juga berpotensi untuk menjejaskan kesihatan mental pelajar seperti kerap rasa tertekan, bimbang dan murung akibat rasa terbeban dengan kerja sekolah dan tugasan yang banyak yang perlu diselesaikan berdasarkan tarikh yang ditetapkan oleh guru dan pensyarah. Malah tarikh penyerahan kerja sekolah dan tugasan yang bertindan menambah rasa cemas, paranoid dan panik dikalangan pelajar. Perlu diingat ada dikalangan pelajar ini yang terpaksa bekerja untuk membantu ibubapa mereka yang telah kehilangan pekerjaan atau sumber pendapatan akibat pandemik Covid-19. Ada juga dikalangan pelajar ini menghadapi masalah keluarga dan perlu membantu ibubapa melakukan kerja di rumah yang mengakibatkan mereka berasa tertekan, hilang motivasi untuk belajar dan akhirnya tercicir dari pelajaran. Sebahagian daripada pelajar mengalamai kurang daya tumpuan kerana terganggu dengan suasana yang hingar bingar dan tidak kondusif menjejaskan kualiti pembelajaran PdPR.
Peningkatan Kes Plagiat dan Ketidakjujuran Akademik Menjejaskan Integriti dan Kualiti Graduan
Kesan PdPR juga menyebabkan peningkatan kes plagiat dan ketidakjujuran akademik dikalangan pelajar. Kini, isu yang melibatkan ketidakjujuran akademik menunjukkan trend yang semakin membarah yang merosakkan nilai integriti serta kualiti graduan kelahiran institusi pendidikan tinggi. Salah laku ini makin menjadi-jadi dengan perlaksanaan PdPR kerana pelajar dikehendaki menyiapkan tugasan diberi dan menjawab soalan peperiksaan di rumah melalui platform digital yang telah ditetapkan oleh pensyarah. Pengaruh internet dan sumber-sumber baru, medium pengajaran berasaskan elektronik memberi impak yang cukup besar terhadap ketidakjujuran akademik. Menurut satu kajian yang dijalankan oleh Wiley pada Mei 2020, beliau melaporkan 93% pendidik berpendapat pelajar lebih cenderung menipu atau memplagiat apabila mengikuti PdPR berbanding ketika pembelajaran secara bersemuka. Mereka meniru jawapan atau menyalin secara bulat-bulat “cut and paste” daripada sumber internet tanpa ada rasa bersalah kerana tiada kehadiran pemeriksa yang memerhatikan perbuatan tersebut. Ada juga dikalangan pelajar yang berani mengupah orang lain untuk menduduki peperiksaan atau menyiapkan tugasan mereka kerana mereka ingin memperoleh pencapaian yang tinggi. Semua salah laku ini mudah dilakukan kerana tugasan dan jawapan peperiksaan hanya perlu dimuatnaik ke platform digital yang telah ditetapkan oleh pensyarah. Inila kesan daripada pembelajaran bukan secara bersemuka dan harga yang perlu dibayar yang akhirnya menjejaskan integriti dan kualiti graduan yang dilahirkan secara maya.
Penyelesaian bagi Permasalahan PdPR
Berdasarkan isu-isu yang diketengahkan ini, komunikasi antara pensyarah dan pelajar bagi menimbulkan kesedaran tentang pentingnya kejujuran akademik perlu diberi perhatian kerana mahasiswa merupakan pewaris negara. Nilai etika dan dan akhlak yang baik perlu dipupuk agar nilai integriti yang tinggi dapat disemai dengan sempurna. Selain itu, pensyarah wajar melakukan pemantauan untuk mengenalpasti sebarang ketidakjujuran akademik. Penggunaan teknologi perisian seperti Turnitin dan aplikasi lain yang dilihat membantu mengurangkan ketirisan perlu diperluaskan kepada semua bentuk penilaian seperti tugasan dan sebagainya. Pendidik juga perlu mempelbagaikan kaedah pengajaran secara konsisten agar lebih menarik, interaktif, kreatif dan terancang agar dapat menarik minat pelajar untuk mengikuti kelas dalam talian dengan penuh bersemangat. Tenaga pengajar sewajarnya perlu seiring dengan aliran semasa, bijak menggunakan pendekatan baharu seperti bahan bantu mengajar iaitu audio, video, visualisasi grafik, simulasi, YouTube bagi menarik komunikasi dua hala dengan pelajar di dalam kelas talian. Ini secara tak langsung akan mengurangkan masalah kedatangan pelajar, kebosanan dan keciciran di dalam pendidikan. Seterusnya, pensyarah perlu bijak menangani isu-isu PdPR dengan kerap mengingatkan pelajar agar kerap bertanya melalui media sosial sekiranya mereka tidak memahami subjek atau tugasan yang diberikan. Langkah memantau tugasan yang diberikan membantu pelajar di dalam menyiapkan tugasan dengan baik. Pendidik juga sewajarnya memberi motivasi dan nasihat dari masa ke semasa dengan menekan akan aspek pengurusan masa dikalangan pelajar agar mereka lebih bersedia dari segi mental dan tidak tergopoh-gapah menyiapkan tugasan. Peranan ibubapa juga penting bagi membantu pendidik di dalam memantau, memastikan anak-anak mereka mengikuti pembelajaran PdPR dengan bersungguh-sungguh dan berjaya.
Kerajaan dan Kementerian Pendidikan perlu komited dan melaksanakan pelan pemulihan pendidikan negara bagi mengenal pasti kumpulan keluarga yang tidak berkemampuan. Golongan ini perlu diberikan bantuan dan insentif segera, menyelesaikan isu-isu teknologi digital serta menaiktaraf infrastuktur universiti tempatan dan sekolah luar bandar dan pedalaman agar semua pelajar tidak tercicir dalam PdPR. Dalam tempoh PdPR ini juga, para pendidik perlu prihatin dan tahu apa masalah yang dihadapi oleh pelajar. Mereka juga perlu mempertingkatkan ilmu dan kemahiran diri dalam kaedah pengajaran secara digital. Malaysia sedang melalui Pendidikan 5.0 dan seiring dengan revolusi industri 4.0. Oleh itu, pelajar perlu disemai, dibentuk dan dididik dengan nilai-nilai murni agar menjadi generasi yang berkualiti, berintegriti, cekal dan dinamik di dalam menghadapi sebarang cabaran kerana mereka merupakan permata, modal insan dan pelapis yang bakal memberi sumbangan kepada negara berdasarkan kecemerlangan dan pembangunan yang seimbang demi agama, bangsa dan negara. Ini sejajar dengan objektif mencapai aspirasi pendidikan negara Malaysia secara optimal yang bukan sahaja melahirkan graduan yang berkualiti malah berdaya saing.
Ilmu pengetahuan adalah kuasa, maklumat dapat membebaskan dari cengkaman dan pendidikan adalah pemacu kemajuan bagi setiap masyarakat dan keluarga. –Kofi Annan