TEKS UCAPAN YAB DATUK SERI UTAMA HAJI SULAIMAN BIN MD ALI KETUA MENTERI MELAKA PADA MAJLIS PERASMIAN HARI WARTAWAN NASIONAL (HAWANA) 2022 TARIKH: 29 MEI 2022 (AHAD), MASA: 2.20 PETANG DI HOTEL HATTEN, MELAKA.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Melakaku Maju Jaya, Rakyat Bahagia, Menggamit Dunia. Terima kasih pengacara majlis;

YAB Datuk Seri Ismail Sabri bin Yaakob, Perdana Menteri Malaysia;

 YB Tan Sri Annuar bin Musa, Menteri Komunikasi dan Multimedia;

 YB Datuk Zahidi bin Zainul Abidin, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia;

YBhg. Dato’ Sri Haji Mohammad bin Mentek, Ketua Setiausaha, Kementerian Komunikasi dan Multimedia;

YB Datuk Zaidi Johari, Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka;

YB Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka;

YBrs. Encik Roslan Ariffin, Pemangku, Ketua Pegawai Eksekutif BERNAMA;

YBhg. Datuk Mokhtar Hussain, Presiden, Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia Indonesia (ISWAMI) Malaysia;

Ketua-ketua Jabatan Peringkat Negeri dan Persekutuan;

Ketua-ketua Pengarang Media Cetak dan Elektronik Malaysia; Ketua-ketua Pengarang Media Cetak dan Elektronik Indonesia; Dif-dif jemputan, Datuk-datuk, Datin-datin, tuan-tuan dan puan-puan serta semua pengamal media yang hadir pada hari ini,

  1. Pertama-tamanya, marilah kita merafak sembah melafazkan setinggi-tinggi kesyukuran pada petang yang berbahagia ini, kita diberikan kesempatan untuk hadir dan berkumpul di majlis yang secara peribadi cukup istimewa bagi saya, apatah lagi kepada saudara dan saudari, semua pengamal media dari seluruh negara.
  2. Istimewanya majlis ini, kerana pada hari bersejarah ini, kita berhimpun bagi menyambut hari yang cukup istimewa iaitu meraikan Hari Wartawan Nasional atau ringkasnya HAWANA. Hari ini ramai petugaas dan pengamal media tanah air berhimpun di Melaka bagi tujuan ini.
  3. Lebih manis lagi, bumi bertuah Melaka dipilih sebagai lokasi sambutan kali ini setelah beberapa tahun tertangguh akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kekangan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang tidak membolehkan kita berhimpun dan menyambutnya dengan skala besar.
  4. Justeru itu, saya mengambil kesempatan ini mengalualukan kehadiran YAB Perdana Menteri serta semua tetamu ke Melaka. Tidak lupa juga saya mengalualukan kehadiran semua sahabat-sahabat media dari Indonesia. Selamat datang ke Melaka bapak-bapak semua.

  YAB Perdana Menteri dan para tetamu jemputan yang saya hormati,

SEJARAH KEWARTAWANAN MELAKA.

  • Suka saya menarik perhatian semua bahawa sejarah kewartawanan di Melaka telah bermula sejak awal tahun 1930-an lagi. Pada awal abad ke-20, wujud golongan elit dari sistem pendidikan formal yang berpendidikan Melayu, Inggeris dan Arab ketika itu. Golongan inilah yang bangkit membina kesedaran masyarakat ketika itu.
  • Mereka bergabung menubuhkan pertubuhanpertubuhan sosial bagi membincangkan nasib bangsa. Akhbar ‘SUARA BENAR’ telah diterbitkan pada 2 September 1932 dengan memuatkan artikel berita, artikel kebudayaan, agama serta isu semasa melibatkan masa depan bangsa. ‘SUARA BENAR’ telah menjadi saluran meluahkan perasaan serta menanamkan semangat kebangsaan orang-orang Melayu Melaka pada ketika itu.
  • Di Melaka juga terletaknya ‘The Royal Press’, Muzium Warisan yang saya ibaratkan sebagai ‘Muzium Percetakan dan Akhbar’ kerana memiliki pelbagai koleksi bahasa (polyglot) yang didedikasi memelihara kraf percetakan huruf. Mereka juga memilik koleksi akhbar-akhbar lama. Bagi saya, khazanah ini perlu dipulihara agar menjadi rujukan bidang kewartawanan di masa akan datang.
  • Premis ini menyimpan lebih 150,000 (seratus lima puluh ribu) blok cetak dalam pelbagai bahasa iaitu Arab, Roman, Cina serta Tamil. The Royal Press juga memiliki barangan percetakan antaranya mesin cetak Glockner-Mercedes tahun 1956 dan Linotype model 78 yang dibuat pada tahun 1961.
  • Banyak lagi barangan lain berkaitan kewartawanan terdapat di galeri ini. Kepelbagaian koleksi yang dimiliki premis ini mencerminkan kemajuan sektor pelancongan di Melaka serta keunikan komuniti masyarakat berbilang kaum Malaysia khususnya Melaka. Inilah gambaran sebenar situasi ‘Keluarga Malaysia’ yang dipelopori oleh YAB Perdana Menteri.

YAB Perdana Menteri serta para tetamu yang dihormati,

MELAKA : SITUASI SEMASA.

  1.  Melaka adalah sebuah negeri yang terus berkembang pesat. Sebagai perancangan jangka panjang, Melaka telah melancarkan Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya (PSMJ) 2035. PSMJ 2035 ini merupakan perancangan strategik, holistik dan komprehensif Kerajaan Negeri Melaka demi memastikan Melaka tidak ketinggalan pada masa hadapan.
  2.  Termasuk dalam Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035 adalah Zon Ekonomi Persisiran Pantai Melaka atau ‘Melaka Waterfront Economic Zone’ (M-WEZ). Ia adalah perancangan projek Zon Ekonomi Pesisiran Pantai Melaka seluas 15,000 ekar di sepanjang 22 kilometer kawasan terpilih di garis pantai Negeri Melaka. Kawasan ini akan dijadikan zon pembangunan ekonomi khas berdasarkan pelancongan selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri Melaka untuk menjadikan kawasan ini sebagai pemangkin pembangunan Negeri Melaka yang ditadbir oleh satu Pihak Berkuasa.
  3.  Dengan penubuhan Koridor MWEZ ini, maka lengkaplah rangkaian koridor-koridor ekonomi di seluruh negara.
  4.  PSMJ 2035 dan M-WEZ adalah permata untuk pembangunan di Negeri Melaka untuk tempoh 25 hingga 30 tahun akan datang agar kegemilangan Melaka dapat diulang dengan cara yang lebih terancang dan lestari.
  5.  Saya yakin, dengan pelaksanaan PSMJ 2035 ini, akan memacu dan merancakkan pertumbuhan ekonomi, menggalakkan pelaburan domestik serta asing, meningkatkan sektor pelancongan, pembangunan infrastruktur, pemulihan warisan dan peningkatan modal insan melalui pendidikan.

YAB Perdana Menteri serta tetamu yang dihormati,

MEDIA SEBAGAI RAKAN STRATEGIK:

  1.  Kerajaan Negeri Melaka sentiasa mengiktiraf media sebagai ‘Rakan Strategik’ kepada kerajaan, baik media tempatan mahupun antarabangsa. Hubungan baik antara media massa dan pentadbiran kerajaan perlu sentiasa dipertingkat dan diperkasakan dari semasa ke semasa.
  2.  Maka itu, diadakan Hari Wartawan Nasional (HAWANA), yang antara lain bertujuan untuk memberikan penghargaan dan pengiktirafan kepada pengamal media seluruh negara di atas jasa dan khidmat bakti tuantuan dan puan-puan selama ini, sama ada secara individu mahupun melalui organisasi media yang diwakili.
  3.  Sebagai ‘Rakan Strategik’ juga, kerajaan negeri sentiasa bersikap terbuka untuk menerima sebarang cadangan, idea, pandangan mahupun kritikan yang membina daripada media asalkan ia untuk kebaikan negeri dan rakyat Melaka secara keseluruhan.
  4.  Ini kerana, tanpa bantuan dan kerjasama erat dari pihak media, agak sukar bagi pihak pentadbiran khususnya kerajaan negeri merangka perancangan pembangunan negeri terutama dari segi penyampaian maklumat yang tepat dan sahih.

PENUTUP

  1.  Dunia kewartawanan harus kekal relevan seiring pembangunan teknologi. Sekarang ini apa jua maklumat adalah di hujung jari. Petik sahaja, info keluar dalam masa beberapa saat sahaja. Gunakanlah info yang diperolehi dan laporkanlah dengan etika dan tanggungjawab.
  2.  Profesionalisme kewartawanan perlu dipegang teguh oleh para pengamal media sekalian. Laporkanlah apa juga berita dengan penuh fakta, adil dan saksama. Sesungguhnya mata pena tuan-tuan dan puan-puan mampu membina negara bangsa jika digunakan secara positif.
  3.  Akhir kata, bagi pihak segenap lapisan pentadbiran kerajaan negeri dan rakyat Negeri Melaka, saya mengucapkan Selamat Hari Wartawan Nasional kepada semua pengamal media di dalam dewan ini mahupun di luar sana. Sekali lagi, Kerajaan Negeri Melaka amat berbesar hati menjadi tuan rumah bagi sambutan HAWANA 2022 pada hari ini.

Sekian, Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

TAMAT-

Amalina MF

Amalina MF

Artikel Berkaitan

MUZIUM MENARIK DI MELAKA

MUZIUM ISTANA KESULTANAN MELAKA Muzium Istana Kesultanan Melayu Melaka dibina berdasarkan ‘Sejarah Melayu’ yang menggambarkan keunikan seni bina istana pada zaman Sultan

BANJIR MAUT IRAN

Fara Ismail Menurut CNN, sekurang-kurangnya 69 orang terbunuh dalam banjir dan tanah runtuh yang melanda beberapa kawasan bandar di seluruh Iran, kata

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *