TEKS UCAPAN YANG BERHORMAT DATUK SERI TAKIYUDDIN HASSAN MENTERI TENAGA SUMBER ASLI

PADA MAJLIS PERASMIAN BANGUNAN TENAGA NASIONAL BERHAD

DI MITC, AYER KEROH, MELAKA

PADA 31 MEI 2022 (SELASA)

Terima kasih Saudara Pengacara Majlis.

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Melaka, Tun Datuk Seri (Dr.) Haji Mohd Ali Bin Mohd Rustam.

Bagi pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB), saya ingin merakamkan setinggi–tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Tuan Yang Terutama Tun di atas kesudian melapangkan masa bagi menyempurnakan Majlis Perasmian Bangunan TNB di MITC pada pagi yang berbahagia ini.

Sesungguhnya, kehadiran Tuan Yang Terutama Tun, bukan sahaja menambah seri lagi majlis ini, malah memberi makna yang besar kepada warga TNB di atas kesudian Tuan Yang Terutama Tun untuk merasmikan bangunan ini sebentar nanti.

Berbau harum bunga cempaka,

Terkenang si dara kepada teruna,

Bertuah hidup di bumi Melaka,

Berkat kepimpinan yang bijaksana,

Kami mendoakan supaya Tuan Yang Terutama Tun serta keluarga akan terus dikurniakan kesihatan yang berpanjangan dan menaungi negeri ini dengan penuh kesempurnaan dan kesejahteraan.

Seterusnya saya mohon keizinan untuk berucap kepada hadirin sekalian.

Yang Amat Berhormat Datuk Seri Utama (Dr.) Haji Sulaiman Md Ali

Ketua Menteri Melaka

Yang Berhormat Dato’ Sri Hasan Arifin

Pengerusi TNB

Yang Berbahagia Datuk Ir. Baharin Din

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB

Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri

Ketua-ketua Jabatan Persekutuan dan Negeri

Barisan Pengurusan TNB

Para hadirin yang dihormati sekalian,

  1.  Syukur Alhamdulillah, pada pagi ini kita dapat bersama-sama meraikan satu lagi peristiwa bersejarah, yang lahir hasil kerjasama erat antara Kerajaan Negeri Melaka dan TNB. Insya-Allah, Bangunan TNB Melaka di Melaka International Trade Centre (MITC), Ayer Keroh ini akan dirasmikan sebentar lagi.
  2. Terima kasih tidak terhingga diucapkan kepada YAB Datuk Seri Utama (Dr.) Haji Sulaiman Md Ali, Ketua Menteri Melaka dan Kerajaan Negeri yang telah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada TNB di negeri ini.
  3. Perpindahan TNB Melaka ke MITC ini telah menunjukkan keprihatinan dan komitmen TNB untuk terus memberikan perkhidmatan yang terbaik khususnya dalam pembekalan elektrik, demi kesejahteraan rakyat di Negeri Melaka.
  4. Dibeli pada tahun 2014 daripada Yayasan Melaka pada harga RM75 Juta, bangunan pejabat komersial 14 tingkat dengan jumlah keluasan lantai bersih 177,000 kaki persegi ini, bakal menempatkan lebih kurang 450 warga kerja yang sebahagian besarnya dari TNB Banda Kaba.

Para hadirin sekalian

  • Saya pasti, dengan suasana pejabat yang serba baru ini, warga kerja TNB akan lebih bersemangat dan komited dalam memberikan perkhidmatan dengan penuh integriti dan sentiasa mengutamakan pelanggan.
  • Di Melaka ini, komitmen TNB dalam membangunkan dan memajukan negeri dapat dilihat daripada pelbagai projek yang dilaksanakan. Antaranya Projek Talian Penghantaran 500kV Alor Gajah – Bahau sepanjang 93 kilometer dengan kos hampir RM296 juta.
  • Begitu juga, Projek Talian Atas Monopole sepanjang 4.2 kilometer yang menghubungkan Pantai Siring ke Pulau Besar adalah yang pertama seumpamanya di rantau ini. Selain itu, Melaka, menjadi lokasi pertama pemasangan meter pintar dan melaksanakan projek perintis Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) melalui anak syarikat TNB, Allo Technology Sdn Bhd.

Hadirin sekalian

  • Secara keseluruhannya, usaha berterusan TNB memodenkan grid nasional telah menempa kejayaan apabila Sistem Indeks Purata Tempoh Gangguan (SAIDI) negara berkurangan daripada 150 minit pada 2002 kepada 45.25 minit pada 2021. Penambahbaikan ini menjadikan grid elektrik Malaysia antara terbaik di rantau ini serta meletakkan TNB setanding dengan negara-negara maju.
  • Pencapaian ini disumbangkan oleh margin rizab penjanaan yang tinggi dan sistem grid yang berdaya harap. Jaringan talian penghantaran ini juga membolehkan tenaga dibekalkan ke semua pusat beban (load centre) dengan lancar dan seterusnya mengurangkan risiko kejadian blackout.
  • Justeru, TNB perlu terus melabur untuk menjadikan Grid Nasional semakin pintar dan konsisten, digital dan fleksibel sekali gus kukuh serta stabil dalam memenuhi keperluan peralihan tenaga negara. Grid Nasional perlu dipersiapkan untuk menerima suntikan Tenaga Boleh Baharu (TBB) dengan berupaya menyokong aliran tenaga dua arah dan berselang seli, sambil mengekalkan kestabilan voltan.
  •  Namun industri tenaga tidak sunyi daripada cabaran, lebih-lebih lagi dalam krisis kesihatan global yang disusuli konflik Rusia-Ukraine, mengakibatkan industri elektrik seluruh dunia terus berdepan krisis harga berikutan peningkatan mendadak harga bahan api fosil iaitu arang batu, gas asli dan petroleum.
  • Impak lonjakan harga bahan api ini telah menyebabkan kos penjanaan elektrik negara meningkat 4.5 kali ganda. Ini kerana arang batu dan gas asli digunakan untuk menjana hampir 93 peratus bekalan elektrik di Semenanjung Malaysia, dan kos penjanaan termasuk bahan api pula membentuk lebih 65 peratus daripada tarif asas elektrik.
  •  Kerajaan, khususnya Kementerian Tenaga dan Sumber Asli serta Suruhanjaya Tenaga (ST) sentiasa bekerja rapat dengan TNB bagi memastikan kestabilan industri tenaga. Kita meletakkan keutamaan bahawa rakyat dapat menikmati bekalan berdaya harap, stabil dan pada harga berpatutan. Malah sejak sekian lama, rakyat Malaysia berterusan menikmati kadar tarif elektrik antara terendah di rantau Asia Tenggara.

Hadirin sekalian

  1.  Untuk makluman, TNB dalam menerajui peralihan tenaga untuk menuju masa depan lebih mampan, semakin agresif dalam bidang TBB termasuk pemasangan panel solar, penyimpanan bateri dan mobiliti rendah karbon yang mempromosikan penggunaan kenderaan elektrik (EV).
  2.  Pengurangan jejak karbon melalui teknologi dan inovasi serta mesra alam ini, sejajar komitmen terhadap agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) sebagai satu norma baharu yang perlu ada pada setiap syarikat masa hadapan.
  3.  Ia selari komitmen Kerajaan dalam RMKe-12 untuk mencapai sasaran pelepasan Gas Rumah Hijau (GHG) bersih sifar seawal-awalnya pada tahun 2050. Justeru kementerian berharap agar Kerajaan Negeri Melaka dan negerinegeri lain tampil menyahut hasrat ini dan bersama-sama menterjemahkan komitmen tersebut. Begitu juga, rakyat turut boleh menyumbang kepada kemampanan masa depan dengan beralih kepada sumber TBB seperti tenaga solar dan mengubah tabiat penggunaan elektrik secara berhemah dengan mengamalkan cekap tenaga.

Tuan Yang Terutama Tun,

Sebelum saya mengundur diri, sekali lagi saya bagi pihak TNB mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Tuan Yang Terutama Tun di atas kesudian hadir ke majlis ini seterusnya merasmikan Bangunan TNB Melaka ini.

Wabillahitaufik Walhidayah Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Amalina MF

Amalina MF

Artikel Berkaitan

MUZIUM MENARIK DI MELAKA

MUZIUM ISTANA KESULTANAN MELAKA Muzium Istana Kesultanan Melayu Melaka dibina berdasarkan ‘Sejarah Melayu’ yang menggambarkan keunikan seni bina istana pada zaman Sultan

BANJIR MAUT IRAN

Fara Ismail Menurut CNN, sekurang-kurangnya 69 orang terbunuh dalam banjir dan tanah runtuh yang melanda beberapa kawasan bandar di seluruh Iran, kata

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *