AMIR ISE
MELAKA – Semakin hari semakin ramai yang menyedari kepentingan menderma darah bagi membantu mereka yang memerlukan berikutan kerjasama media massa yang sentiasa memaparkan kempen menderma darah melalui web media, media cetak mahupun media elektronik selain paparan kempen di lebuh raya-lebuh raya utama juga poster-poster yang dipamerkan agensi seperti kesihatan terutama di tempat tumpuan ramai.
“Proses pendidikan juga mampu menerapkan nilai tanggangjawab sesama komuniti, ini bagi meningkatkan kadar 4 peratus di kalangan rakyat Malaysia menderma darah” Azlin Othman, Timbalan Presiden Pertubuhan Mesra Pengguna (PMPM) yang juga penganjur bersama Melaka Blood Bank ketika kempen ‘Jom Derma Darah’ di Pasaraya Mydin Pulau Sebang, Alor Gajah baru-baru ini.
“Kadar semasa 2.2 peratus pendermaan darah keperluan darah untuk pesakit masih tidak mencukupi. Kempen bukan dilihat sebagai aktiviti semata, tetapi ia lebih kepada peranan bersama juga menjadi tanggungjawab dalam meningkat bekalan darah seterusnya memastikan keperluan mencukupi. Setiap hari Malaysia berkeperluan kepada 2,000 beg darah, jadi bersama kita jika dapat membantu” kata Azlin kepada media.
Tambah beliau lagi “aktiviti dan kempen seperti ini yang melibatkan kesihatan dan kesejahteraan adalah diharap boleh membantu meningkatkan kesedaran dan tanggungjawab sosial ramai ahli komuniti untuk menderma darah”.
Bekalan darah diperlukan setiap hari dan bekalan yang berterusan dan mencukupi sepanjang masa sangat penting serta diperlukan untuk tujuan merawat mangsa kemalangan, pembedahan serta semasa proses menyelamat ibu mengandung yang alami komplikasi pendarahan serta lain-lain. Kempen dijalankan juga boleh memberi peluang kepada orang ramai dalam menjalankan tanggungjawab mereka menderma darah agar dapat memberi harapan kepada golongan yang memerlukan.
Seorang penderma ketika ditemui, Nallasivam a/l Govindasamy pula berkata
“jangan fobia untuk menderma darah. Adalah sangat penting untuk menyedarkan komuniti supaya sama-sama menyumbang kepada keperluan bekalan darah, secara tidak langsung ia dapat memupuk semangat kesukarelawan, kebersamaan dan dapat mencipta keprihatinan semua peringkat tanpa kira bangsa”.
Nallasivam sehingga hari ini telah 84 kali menderma darah. “Saya mula menderma darah pada tahun 1997 ketika umur 23 tahun. Saya rasa seronok dapat 3 bulan sekali membantu pesakit dan sesiapa sahaja mereka memerlukan”.
Sementara itu Hanafi Zainal 54 kali menderma darah setakat ini berkata “Amalan menderma darah adalah amalan mulia yang turut menyumbang kepada gaya hidup sihat. Dengan menderma darah juga, kita dapat membantu orang sewaktu kesusahan, lain kali mungkin giliran kita dan keluarga pula yang dibantu. Menderma darah sangat baik, seterusnya membuat ahli komuniti menghayati nilai tolong menolong itu sendiri”.
Sekian dan terima kasih – NIS