Kenyataan Media: KDNK Negeri Melaka Dan Statistik Subnasional

  1. NILAI KDNK MELAKA MENCATATKAN PERTUMBUHAN POSITIF 2.0 PERATUS BAGI TAHUN 2021
  1. EKONOMI NEGERI MELAKA TERUS DIPACU OLEH SEKTOR PERKHIDMATAN DAN PEMBUATAN DENGAN SUMBANGAN 86.7 PERATUS BAGI TAHUN 2021 3. SEKTOR PERTANIAN DI MELAKA MEREKODKAN KENAIKAN MELEBIHI ARAS

PRA-PANDEMIK 2019

  1. NILAI KDNK PER KAPITA MELEBIHI PARAS NASIONAL, MELAKA KEKAL BERADA DI KEDUDUKAN KEENAM SEPANJANG TEMPOH 2019 HINGGA 2021 5. KDNK NEGERI MELAKA TAHUN 2022 DIJANGKA AKAN BERTUMBUH DENGAN LEBIH PESAT EKORAN PERALIHAN KE FASA ENDEMIK
  2. “KAWASANKU” MENDEKATKAN STATISTIK DENGAN RAKYAT

MELAKA, 15 JULAI 2022 – Pada 30 Jun 2022, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah mengeluarkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) mengikut negeri bagi tahun 2021 ekoran daripada KDNK peringkat nasional yang telah dikeluarkan pada 13 Mei 2022. Statistik ini menghuraikan secara terperinci penemuan dari aspek sektoral dan komposisi ekonomi peringkat negeri yang menyumbang kepada kedudukan ekonomi Malaysia. Lima negeri mencatatkan prestasi KDNK yang lebih baik berbanding pencapaian 3.1 peratus di peringkat nasional pada tahun 2021.

Hasil inisiatif dan tindakan pantas yang dilaksanakan oleh pihak Kerajaan membantu memulihkan ekonomi Malaysia pada tahun 2021, menunjukkan peningkatan 3.1 peratus berbanding tahun sebelumnya yang merekodkan negatif 5.5 peratus. Sektor Pembuatan meningkat 9.5 peratus, sektor Perkhidmatan sebanyak 1.9 peratus dan sektor Perlombongan dan pengkuarian sebanyak 0.3 peratus, seperti yang dinyatakan oleh Ketua Perangkawan Malaysia. Sebaliknya, sektor Pembinaan dan Pertanian merekodkan penurunan masing-masing sebanyak 0.2 peratus dan 5.2 peratus. Sejajar dengan itu, selepas krisis COVID-19 global, semua negeri mula pulih dan melaporkan prestasi yang lebih baik pada tahun 2021.

Setiap negeri termasuk dua Wilayah Persekutuan menunjukkan tanda-tanda pemulihan dengan merekodkan pertumbuhan positif pada 2021. Antara negeri yang paling pesat berkembang adalah Pulau Pinang, dengan kadar pertumbuhan sebanyak 6.8 peratus pada 2021, diikuti Selangor dengan kadar pertumbuhan sebanyak 5.0 peratus.

Terengganu dengan kadar pertumbuhan sebanyak 3.6 peratus, Perak dengan kadar pertumbuhan sebanyak 3.5 peratus, dan Kedah dengan kadar pertumbuhan sebanyak 3.2 peratus. Manakala bagi Negeri Melaka, KDNK bertumbuh sebanyak 2.0 peratus pada tempoh sama. Walau bagaimanapun, ekonomi Melaka masih belum pulih sepenuhnya berbanding pra-pandemik, iaitu masih menyusut 4.1 peratus berbanding 2019.

Pada tahun 2021, Melaka mencatatkan nilai ditambah berjumlah RM41.8 bilion berbanding RM41.0 bilion pada tahun 2020. Nilai KDNK tersebut bertumbuh sebanyak 2.0 peratus (2020: -5.9%). Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata “Ekonomi Melaka diterajui oleh sektor Perkhidmatan dengan sumbangan 48.8 peratus, diikuti oleh sektor Pembuatan yang menyumbang sebanyak 37.9 peratus dan sektor Pertanian 10.9 peratus. Sementara itu, sektor Pembinaan dan Perlombongan & pengkuarian masing-masing menyumbang 2.1 peratus dan 0.1 peratus”.

Sektor Perkhidmatan mencatatkan pertumbuhan positif 2.3 peratus berbanding penurunan 4.6 peratus pada tahun sebelumnya. Namun, pertumbuhan positif ini masih belum melepasi nilai KDNK pra-pandemik 2019, dengan penurunan negatif 2.4 peratus. Sektor Pembuatan turut merekodkan pertumbuhan positif 3.3 peratus (2020: -8.5%). Namun pertumbuhan positif tahun 2021 ini juga masih belum melepasi nilai KDNK pra pandemik 2019, dengan penurunan negatif 5.4 peratus. Sektor Pertanian pulak merekodkan penyusutan 0.6 peratus (2020: 3.4%). Namun jika dibuat perbandingan dengan tahun 2019, sektor Pertanian merekodkan kenaikan melebihi aras pra pandemik, dengan peningkatan 2.8 peratus. Sektor Pembinaan di Melaka menyusut 9.5 peratus berbanding 2020 (-26.9%).

Melihat kepada perincian mengikut sektor, subsektor perdagangan borong & runcit, Makanan & minuman dan Penginapan merupakan penyumbang terbesar sektor Perkhidmatan di Melaka iatu 35.6 peratus, diikuti subsektor Utiliti, pengangkutan & penyimpanan, dan maklumat & komunikasi (21.0%) serta subsektor kewangan & insuran, hartanah dan perkhidmatan perniagaan (13.5%). Pertumbuhan 2.3 peratus dalam sektor Perkhidmatan di Melaka ini didorong oleh peningkatan sebanyak 6.4 peratus dalam subsektor utiliti, pengangkutan & penyimpanan, dan maklumat & komunikasi (2020: -1.9%) serta pertumbuhan 2.8 peratus dalam subsektor kewangan & insuran, hartanah dan perkhidmatan perniagaan (2020: -2.7%). Peningkatan lebih baik bagi subsektor perdagangan borong & runcit, makanan & minuman dan penginapan kepada negatif 0.03 peratus (2020: -9.1%) turut menyumbang kepada pertumbuhan positif sektor ini.

Produk petroleum, kimia, getah dan plastik merupakan penyumbang utama sektor Pembuatan di Melaka dengan sumbangan 30.2 peratus, diikuti produk elektrik, elektronik dan optikal (29.2%) dan produk kenderaan bermotor dan peralatan pengangkutan (22.6%). Pertumbuhan 3.3 peratus dalam sektor Pembuatan ini disokong oleh pertumbuhan dalam produk petroleum, kimia, getah dan plastik sebanyak 6.7peratus berbanding negatif 13.2 peratus pada tahun 2020 serta kenaikan 5.2 peratus bagi produk elektrik, elektronik dan optikal (2020: -1.3%).

Penyumbang utama sektor Pertanian di Melaka adalah subsektor tanaman iaitu sebanyak 57.4 peratus, namun pertumbuhannya menyusut 2.9 peratus (2020: 4.1%) didorong oleh penyusutan dalam aktiviti sayuran dan buah-buahan serta penurunan dalam pengeluaran komoditi kelapa sawit. Bagi sektor Pembinaan pula, penyumbang utama adalah subsektor pembinaan bangunan iaitu sebanyak 55.3 peratus, namun pertumbuhannya turut menyusut 1.2 peratus (2020: -13.9%).

Beralih kepada prestasi KDNK per kapita, Melaka, seiring dengan negeri-negeri lain turut menunjukkan peningkatan nilai KDNK per kapita berbanding tahun 2020. Nilai KDNK per kapita yang dicatat adalah sebanyak RM47,799 melebihi paras nasional sebanyak RM47,324. Dalam tempoh 2019, sehingga 2021, nilai KDNK per kapita Negeri Melaka sentiasa melebihi paras nasional dan kekal berada di kedudukan keenam sepanjang tempoh tersebut.

Prestasi pelancongan domestik Malaysia pada tahun 2021 terus mencatatkan pertumbuhan negatif dari segi bilangan ketibaan pelawat, jumlah perbelanjaan dan bilangan perjalanan disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan wabak COVID-19. Secara keseluruhan, ketibaan pelawat domestik terus menyusut sebanyak 49.9 peratus dengan merekodkan 66.0 juta pelawat berbanding 131.7 juta pelawat pada tahun 2020. Industri pelancongan penyumbang terbesar memberi impak yang positif kpd pemulihan ekonomi Negeri Melaka, melihat kepada penempahan perkhidmatan penginapan yang sentiasa tinggi terutama pada setiap hujung minggu dijangka bilangan pelancong domestik akan meningkat secara drastik. Ini secara tidak langsung memberi sumbangan berganda kepada sektor Perkhidmatan yang berkaitan terutama makanan & minuman dan pengangkutan. Selain itu, ekoran peralihan kepada fasa endemik seperti yang diumumkan oleh kerajaan akan menbantu dalam merancakkan lagi industri pelancongan Negeri Melaka.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah melancarkan “KAWASANKU” pada 13 Jun 2022 melalui platform Facebook DOSM. KAWASANKU salah satu inisiatif pembangunan platform data terbuka generasi baharu yang mengandungi profil demografi penduduk berdasarkan penemuan Banci Penduduk dan Perumahan 2020. Inisiatif ini dibangunkan bertujuan untuk meluaskan dan menggalakkan pengguna mengakses data dalam bentuk machine-readable format seperti yang dilaksanakan menerusi OpenDOSM. KAWASANKU boleh diakses melalui https://kawasanku.dosm.gov.my/.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) sedang menjalankan Survei Pendapatan, Perbelanjaan Isi Rumah dan Kemudahan Asas (HIES/BA) 2022 bermula dari 1 Januari 2022 sehingga 31 Disember 2022 dan Survei Ekonomi Tahunan 2022 (AES 2022) bermula 15 April sehingga 30 September 2022. DOSM amat menghargai kerjasama daripada responden yang terpilih untuk memberikan maklumat kepada DOSM serta menjayakan survei ini. Sila layari www.dosm.gov.my untuk maklumat lanjut.

DOSM juga menerbitkan statistik ekonomi dan sosial iaitu PocketStats yang mengandungi statistik suku tahunan dan tahunan yang boleh diperoleh dari portal DOSM atau melalui pautan https://bit.ly/PocketStatsS1 2022.

Dikeluarkan oleh:

PEJABAT KETUA PERANGKAWAN MALAYSIA JABATAN PERANGKAAN MALAYSIA

15 JULAI 2022

fara ismail

fara ismail

Artikel Berkaitan

MUZIUM MENARIK DI MELAKA

MUZIUM ISTANA KESULTANAN MELAKA Muzium Istana Kesultanan Melayu Melaka dibina berdasarkan ‘Sejarah Melayu’ yang menggambarkan keunikan seni bina istana pada zaman Sultan

BANJIR MAUT IRAN

Fara Ismail Menurut CNN, sekurang-kurangnya 69 orang terbunuh dalam banjir dan tanah runtuh yang melanda beberapa kawasan bandar di seluruh Iran, kata

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *